hayya nabda' bi..


بسم الله الرحمن الرحيم..



.dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Ahad, 13 Mei 2012

cerita hari esok


Selesai sahaja bacaan ma’thurat, dan agak-agak cerah sedikit di luar, dia telahpun melangkah keluar.
Pulang semula ke rumah, kira-kira selepas azan Isyak berkumandang.
Dan rumah, hanyalah tempat melepaskan penat seharian, atau kata lainnya; sekadar tempat tidur dan keperluan kendiri.
Penggunaan air juga adalah terhad, selalunya sepulangnya dia, perkara pertama yang akan dilakukan ialah membuka paip air, menadahnya ke dalam besen di bilik air.
Apabila dia dibangkitkan semula pada pagi esok, air sudah penuh, dan cukup untuk keperluannya.
Makan? Dia akan makan sarapan, awal pagi. Selainnya semua di luar. Makan roti, mungkin. Atau apa-apa sahaja buat alas perut.
Cuma dikecualikan mungkin satu hari dalam seminggu untuk melunaskan tugasnya dan tanggungjawab sebagai ahli bait(room-mate). Cuci baju, kemas dan bersihkan rumah, menguruskan hal-ehwal rumah.
Begitulah rutin sehariannya. Kebanyakan masa dia adalah di luar,- sekejap berada di kuliah, kemudian berkejar ke Masjid Azhar; bertalaqqi. Dan ada masa-masanya berteleku di kedai-kedai buku.
=.=


Sekurang-kurangnya inilah yang saya pernah terfikirkan sebelum sampai ke Mesir. Wah, bumi padang pasir.. mesti tak cukup air, udara berdebu. Wah, ke kelas-kelas syeikh, belajar dan belajar, memahirkan sesungguhnya ilmu Nahu, Sorof dan Balaghah(cabang ilmu Bahasa Arab).

Tapi.. sesungguhnya perkara (harapan dan impian) itu tak(belum) tercapai.

Masalah musyrif, masalah tak ingat jalan, kes jenayah,larangan kakak senior, tak ada teman dll.

Kalau nak disenaraikan, memang sangat panjang berjela alasan-alasannya. Sampai jadi penat, dan sangat bosan.  

Adakah peluang yang dinantikan? Atau apa?

Sehingga saya bertemu seorang kakak ni.


Hidupnya memang sangat menyerupai apa yang pernah saya gambarkan akan dilalui oleh diri sendiri,

Adakah masalah-masalah yang muncul tidak menghalangnya?

Daripadanya; saya belajar erti TEKAD dan TAWAKKAL.

Mungkin, Mesir bukan Negara kita, penghuninya tak bertutur dengan bahasa kita sehingga tak timbul masalah komunikasi- tetapi, ia adalah bumi Tuhan! 

Barangsiapa yang takut, tunduk, patuh dan taat kepada Allah, maka makhluk lain juga tak akan mampu berbuat jahat kepadanya, melainkan dengan seizin-Nya.

Seandainya kamu berkeinginan dengan sesungguhnya, mengapa tidak lakukan dengan sesungguhnya, sehinggalah Allah memandang kesungguhanmu itu?

Mungkin ini maksud “itqan” dalam kalam Saidina Ali r.a; “Nilai seseorang itu ialah pada itqan(ketekunannya) dan bukan pada apa yang ia miliki.

Terasa rugi bertemu dia di saat yang agak terlewat. Tetapi, saya juga faham seperkara.

Tentang mengapa Dia belum mengizinkan saya sampai kepada apa yang sangat saya inginkan.(meski beberapa usaha telah dibuat! )

Sama ada kerana usaha yang belum cukup kuat, atau..

Kerana Dia Maha Tahu; bahawa saya belum bersedia untuknya. Hah, betullah!

Umpamanya seperti ;

Kita sangat teringin dan mahu memandu kereta, kemudian kita minta pada ayah kita; kita nak kereta.
Walaupun kita diberi kereta selepas itu, dan diberi kuncinya untuk memandu,
Dapatkah kita memandunya dengan baik, seandainya diri masih belum ada kemahiran dan pengetahuan tentang kereta, cara-cara memandu, dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya?

Kalaulah kita dah berusaha keras mencapai sesuatu, tetapi masih belum diperkenan Allah, adakah maksudnya doa kita tertolak?

Mungkin, tapi..

 sesungguhnya  kita harus yakin Dia akan mengabulkannya, tak kira cepat, lambat, atau digantikan dengan menjauhkan kita dari keburukan, atau sesuatu yang lebih baik dari permohonan kita.

Terus, terus dan terus berusaha!
 
YAKIN. Bukankah Yang Maha Mengetahui itu ialah Dia?










~T_T

Khamis, 10 Mei 2012

"Yang tu warna apa?"
"Biru"
"Tu pulak?" saya merujuk ke arah bunga dalam jambangan di atas meja"
"Kuning"
"Daun ni warna apa?"
"Hijau"
bijak, getusku. Kagum melihat kanak-kanak seperti dia. Umurnya muda sekali, tetapi..
"Akak, kenapa warna bunga ni lain, yang tu lain..?"
"Kenapa banyak betul jenis pokok kat dunia ni ya?"
"Akak, ni gambar apa?"
"Kenapa dia buat macam ni, ya?"
"Akak.. ni warna ungu ke? Kenapa tak sama dengan warna ni?"

haha. =.=
melihat dia, melayang ingatanku ke Malaysia, terkenangkan Azamuddin, si hensem kelima dalam keluarga. Cuma mungkin, adikku itu tak sepetah kanak-kanak ini.

Niatku hendak segera pulang, masih ada ulangkaji yang tertangguh. Agak hairan tiba-tiba disapa si Hero muda ini, membentangkan sedapat mungkin majalah kartun yang ditemuinya di perpustakaan asrama itu.

Wajahnya seakan sangat menikmati, seolah-olah membaca dengan sangat tekun-setiap huruf-huruf bertitik dan tidak bertitik itu, walaupun pada hakikatnya dia belum mampu membaca lagi..

 dengan bibir mulusnya tak berhenti bertanya itu ini.

Naif wajahnya menggambarkan kesungguhan dan perasaan ingin tahu.

majalah berbahasa arab, berkartun, penuh warna. hem..

Kenapa aku tak seperti dirinya?

Aku lebih mampu(berbanding kanak-kanak berusia 5 tahun) memahami tulisan hikmat itu, dalam bahasa Cinta itu, tetapi..

adakah kerana fikiranku telah dirasuk unsur-unsur lain sepanjang melalui zaman kanak-kanakku sehingga aku terlupakan bahawa aku juga pernah dahulunya merasai nikmat yang sama?

Atau hanya budak kecil seperti dia yang boleh melihat, merasai..? Seperti cerita Peter Pan dongengan itu..

dan jawapan sebenarnya ialah tertakluk pada satu kalimah keramat;
                                  M.A.L.A.S

>< umi selalu cakap; "orang paling tak berguna di dunia ni ialah orang malas",,

malas nak kemas rumah, malas nak ke kuliah, malas nak baca buku, malas itu, malas ini,,

rajin bersembang, rajin bercerita, rajin mengumpat, rajin membuang masa,

penyakit. betul-betul penyakit.
 


***********************************************************************


Makin dekatnya peperiksaan, aku semakin melalut, entah ke mana himmah dan semangat yang pernah membakar sewaktu di tingkatan 6 dan ILDAS, sedikit waktu dahulu..

dan.. semakin dahsyatnya peperangan di sebuah tempat bernama hati,,

Nawaitu itu mesti sentiasa diperiksa, jangan sampai terleka terlalai berusaha semata untuk keperluan dunia bergelar peperiksaan dan sijil.

Kadang-kadang dah rasa betul niat lillah, tetapi pembuktiannya melalui amal- aduhai.. terpesong beberapa darjah dari garisan taufiq..

hasil ilmu itu ialah suluk dan adab, juga sebuah ketundukan, dan pencerahan.

Moga tercapai seperti kata Imam Syafie; "Ilmu itu ialah cahaya".

Jom kita "merasai" ketika mana menatap tulisan hikmat itu, ketika mana cuba memahami bahasa Cinta itu.,, moga diizin Dia, kita mampu menghayati titipan Cinta dari Langit, dan diamalkan sesungguhnya dalam tiap helaan nafas kita; seluruhnya.





~kalaulah..... (tak boleh menyesal dengan benda yang dah terjadi) :P



Isnin, 7 Mei 2012

GRAYSCALE


Seandainya semua tohmah, fitnah dan umpat itu harus menjadi benar,
Maka,,,
Bukankah kita sudah perlu mempersiap,
Untuk dilempar dan dilumur ke wajah-wajah kita
Segala macam caci, hina dan keji?

Seandainya ini adalah kesilapan generasi yang lalu..
Maka adakah patut kita hanya duduk dan memandang,
Untuk semata-mata mewarisi kekurangan dan kecacatan mereka?

Ataukah..
Kita berdiri menghadap mereka,
Untuk mengatakan;
“kamu telah gagal,,”….?

Adakah benar kegagalan itu seratus-peratusnya berpunca dari kesilapan mereka?
Adakah mereka tidak difahami mengikut yang selayaknya??

Ataukah..
Kita berdiri di samping mereka,
Saling membahu, menampung memperbaiki
Segala lompang-lompang dalam barisan mereka,
Sedaya dan semampu kita..
Bukankah kita umat yang sering menuturkan;
“Sesungguhnya mukmin itu bersaudara”?
Ke manakah hilangnya intipati dan erti,
Andai mata kita memicing memandang mereka,
Dalam hati mendabik berbangga;
“akulah yang lebih baik dari dirinya”?





~Kita dianggap golongan yang berautoriti dalam masyarakat, bersandar meminjam tiket “ulama” kerana jalan yang kita pilih. Maka bukanlah yang seharusnya untuk berlindung di balik sekeping ijazah tanpa ilmu yang mantap di dada, tanpa amal yang terbit darinya, tanpa ikhlas yang mendasarinya.. 

Sedangkan ulama itu terpundak di bahunya tugas Rasul-membawa risalah Tauhid.

Kita bukanlah orangnya yang menconteng arang ke wajah mulia Rasulullah s.a.w!

Isnin, 23 April 2012

Terakhirnya,,


Bersyukur atas apa yang Allah takdirkan.

Biarpun pernah memilih jalan yang salah,

Hidup dalam ragu dan rasa berdosa,

Selagi mentari masih terbit dari Timur,

Dan ruh masih diizin bersama jasad.

Dan jiwa masih terpimpin untuk meyakini Dia,

YAKIN.

Tiada yang berlaku secara sia-sia.


Penyesalan mengundang duka dan air mata, hati direnggut kecewa, sakit pedih diadun terlarut bersama, membeku, membarah bila bersatu dengan benci dan amarah.

Aku bukan sesiapa di bumi Tuhan!

Tidak layak, malah lalat yang merimaskan mungkin lebih baik dari seorang aku.

Andai aku dihidupkan untuk diri sendiri,

Pasti aku meminta mati,,

Dari terus bernafas, berjalan dan berlari,

Mengocak ketenangan hamba-Mu yang lebih Engkau cintai.

Aku tidak pernah meminta.

Tetapi silapnya aku tidak berani melepaskan,

Dalam pada tidak berani mengharap,

Rupanya sudah tergantung tanpa aku sedari. 


Bebaslah...


Sekeping jiwa harus bebas mandiri,

Mengutip cebisan-cebisan makna,

Bertatih belajar menjadi seorang hamba..

Yang sujud jiwanya dalam tiap bangun dan lelap,

demi hayat yang didamba..

Meski tidak punya kudrat untuk memiliki,,










~nota buat diri;
 Sesuka hatinya mengguna nafas yang dipinjam Allah, berfoya-foya-membongkak meninggi seolah diri adalah yang paling dekat dengan Ilahi..
~sudah tiba waktunya mengundur diri, ha.. ada gua yang menanti penghuninya untuk tempoh sebulan ini,,



Isnin, 16 April 2012


Serius.
Dalam banyak-banyak bab menghadapi hidup, yang paling sukar adalah berhadapan dengan manusia berbagai ragam, sikap dan tabiat.
Ya Tuhan.
Kerana aku juga manusia, punya sikap, dan perangai sendiri. Juga perasaan.
Masa menghukum, Allah mendidik,
Paling mencabar adalah berdepan dengan mereka, yang kita berbuat salah terhadapnya.
Benci melalui saat-saat itu.
Lebih-lebih lagi kepada mereka yang cepat tersentuh hatinya, benar-benar mengajarku agar berhati-hati dalam menutur kata, jangan berbicara dengan tidak berfikir!

Lagi,
Kerana aku manusia.
Berasal dari kaum yang sangat mudah dipengaruhi emosinya.
Kadang-kadang aku tak memaksudkan perbuatan, atau sengaja melakukannya, atau mudah kata, dipengaruhi perasaan.
Amarah, benci, cemas..atau terkadang terlalu gembira.
Bisa saja menimbulkan tafsiran yang berbeza melalui tingkah-lakuku. Mungkin-yang agak keterlaluan.

Tapi..
Aku bukan sekadar manusia,
Aku adalah hamba,
Yang Allah muliakan dengan iman dan Islam,
Bukan seharusnya aku bertindak sesuka hatiku, tanpa panduan akal, pedoman iman.

Orang beriman.
Aku orang beriman.
Aku yakini Allah, Rasul dan Hari Kiamat.
Tidak seharusnya untuk terus berlindung di balik alasan-alasan “aku hanya manusia” untuk menyelamatkan diri dan mengelak dari kesalahan.
Malah sebaliknya.
Kerana aku adalah manusialah, dan kerana manusia itu banyak kecacatanlah,
Maka aku harus berhati-hati dalam tindakan, gerak-geri, dan tutur bicaraku,
Kerana mereka manusialah,
Maka aku harus berfikir dan merenung diri,
Setiap apa yang lahir dari diriku akan memberi kesan kepada mereka.
Kerana bumi ini tidak Allah ciptakan untuk aku duduk seorang,,
Dan kerana seorang mukmin itu berbeza dari yang selainnya.

Wahai atmaku.
Ada kata bijaksana menyebut, “orang yang paling berani ialah orang yang mula-mula memohon maaf, dan orang yang paling kuat ialah orang yang mula-mula memaafkan.”
Kedua-duanya sama perit.
Terutama bila dihalangi ego dan merasa diri yang betul, orang lain adalah salah.
Tetapi Dia menjanjikan;
“maafkanlah, tidakkah kamu menyukai andai Allah mengampunkan dosa-dosamu?”
Lebih-lebih lagilah antara orang beriman,,

Oh Tuhan.
Walaubagaimanapun, memohon maaf adalah langkah terakhir, ibaratnya mencari ubat setelah ditimpa sakit.
Mungkin mereka mampu memaafkan,
Tapi..
Pasu yang pecah, jika dicantum kembali, adakah sama dengan pasu yang tidak pernah pecah?
Inikan pula soal hati..

Jiwa, berbicaralah!
Merenung keaiban diri,
Aku memerhati,
Hati yang paling sengsara adalah hati yang memendam benci dan iri,
Dalam pada luas dan lapangnya hidup,
Yang aku lihat hanyalah sempit dan cacat-celanya,


Cuma andai bisa,,
Oh Allah, aku mohon berlepas diri dari segala penyakit hati,
Agar dalam celah yang gelap,
Masih mampu mencari sinarcahaya,
Agar dalam sukar dan pahitnya hidup,
Masih mampu merisik sedikit bahagia untuk dikongsi dengan mereka,
Insan yang Allah campakkan rasa cinta dalam hati mereka,
Buat diri yang serba kurang lagi fakir ini…



 *******************************************************************
Yang selalu; "dia tu ada masalah hati, patutlah tak keruan je."
Yang jarang sekali; "Aku ni banyak penyakit hati. Ya Allah, bantulah aku."




~orang kata, ulser@mata ikan@lompangan kat mulut tu disebabkan stres. Betul, ke?

Isnin, 9 April 2012

...Beliau

Subhanallah..

Seorang doktor yang merawat,

bukan dengan tangannya,

malah dengan hatinya.

Bagaimana dalam kesibukannya sebagai seorang doktor,

Mampu menjadi seorang pakar hadis?

Hati yang kelelahan, seolah mendapat suntikan baru.

Sebuah kisah untuk dikongsi bersama, moga maksudnya sampai, insyaAllah.

**********************************************************************

"Aku berbuat keputusan untuk mempelajari hadis dengan Syeikh ini. Lalu ku utarakan pandanganku kepada sahabatku, Dr.Hadi dengan harapan dia menyetujuinya.

Akhirnya, pertemuan kami diaturkan, Dr.Hadi yang membawaku ke rumah Syeikh ini,- yang Allah gerakkan hatiku untuk menuntut ilmu hadis daripadanya.

Satu sesi pembelajaran telah diaturkan, pada malam Jumaat, selepas Isyak, dan kami telah bersepakat untuk memulakan pengajian menggunakan Kitab Muwatto'; oleh Imam Malik RahimahuLlah.

Pada hari yang dinanti-nanti itu, soalan pertama yang aku utarakan sebelum mula mempelajari hadis ialah;
"Apakah adab mempelajari Hadis?"
dalam fikiranku, jawapan yang bakal aku perolehi ialah;
-berwangi-wangian, berjubah putih,
dan lain-lain lagi, memandangkan kepada sikap pemuda pada ketika itu yang mementingkan penampilan.

Sangkaanku meleset apabila mendengarkan jawapan syeikh;

"Ikhlas",

Lalu bertambah tetaplah hatiku untuk terus menuntut dengan Syeikh yang mulia ini."

Siapakah beliau ini yang dimuliakan Allah dengan kepakarannya dalam dua bidang- perubatan dan Hadis sekaligus?

Akan saya sambung kisah-kisah dan pengalaman-pengalaman yang sudi beliau kongsikan bersama peserta dalam program perubatan beberapa hari lalu, insyaAllah..


Khamis, 29 Mac 2012

...

Pagi itu saya melihat wajah di cermin.

Tiba-tiba terbayangkan kalau wajah sempurna pemberian Allah itu berubah, menjadi seperti serigala dalam cerita dongeng Gadis berkerudung merah, atau raksasa dalam cerita The Lord of The Ring,

Menjadikan saya teringat kepada sebuah kisah Inggeris(agaknya) yang saya pelajari semasa di tingkatan Dua dulu.

************************************************************

Seingat saya, Dr. Jekyll merupakan seorang yang mempunyai kedudukan, bijak. Dia menjalankan eksperiman kepada dirinya sendiri bilamana dia menyedari bahawa diri manusia ini ada dua sisi yang berbeza; baik dan buruk.

Apakah eksperimen yang dilakukan dan kenapa?

Ujikaji ini dilakukan agar dia mampu mengekspresi kemahuan jahatnya, atau memenuhi kehendak sisi buruknya, dalam pada masa yang sama, menjaga nama baiknya.

Usahanya berjaya menghasilkan sejenis cecair yang mampu mengubah bentuk fizikalnya sama sekali, setiap kali meminumnya.

Lalu lahirlah Mr.Hyde.

Dr.Jekyll pada mulanya merasa puas, dan menyangka dia akan mampu mengawal keadaan. Dalam tubuh Mr.Hyde, kemahuannya akan dapat dituruti, dan pada masa yang sama, Dr.Jekyll akan kekal sebagai orang yang dihormati.

Semakin lama, Mr.Hyde menjadi semakin kuat, biarpun Dr.Jekyll tidak meminum ramuan ciptaannya itu, tubuhnya bertukar menjadi Mr.Hyde,

Sehingga akhirnya Dr.Jekyll yang dihormati itu mati dalam tubuh Mr.Hyde yang dibenci.

***************************************************************

Entah dalam perasan atau tidak,

Di balik wajah senyum yang manis,

atau alasan-alasan bernada murni,

dalam tingkah dan gerak kerja sehari itu,

tersembunyi tujuan dan maksud-maksud bertemakan nafsu dan kemahuan peribadi

demi menutup kecacatan dan kekurangan diri.

atau istilahnya;


****************************************************************


~Rupanya hingga ke akhir "jidal" kita, yang mempamerkan sikap itu ialah saya.
~Maaf dan terima kasih. Yang menyakitkan itulah yang akan membekas di jiwa.