hayya nabda' bi..


بسم الله الرحمن الرحيم..



.dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Rabu, 15 Januari 2014

pasca imtihan

(lihat apa yang aku jumpa setelah memilih untuk menjadi "ignorant" dengan hal-ehwal mesir pasca peperiksaan kertas)

Setelah dahulunya begitu cenderung dengan segala bagai filem dan drama-drama berunsur aksi, gaya dan seni pedang dari Cina, Jepun, Korea. Sekarang, baru rasanya harus tidak membiarkan ia berlalu sekadar halwa mata dan telinga.

*********
Baru usai menonton sebuah drama Korea kerajaan Monarki dinasti Joseon (banyak drama korea genre historis berlatar-belakang zaman ini)

Tolak ke tepi unsur cintan-cintun, emosi, pakatan hasad-dengki dan babak-babak yang tak memuaskan hati.
Yang menjadikan aku sangat tertarik dengan musalsal lebih dari 20 episod ini ialah watak heroinnya yang cerdas, dan bijak.

Entah kenapa aku sangat gemar melihat babak-babak bilamana para cendekiawan berbalas pantun, berbalas teka-teki, soal dan jawab perumpamaan, kata-kata bijaksana.
Kata-kata Confucius disebut-sebut, menggambar sifat-sifat dan ciri-ciri insan bijaksana, pemimpin adil, lelaki mulia, falsafah hidup dan kebahagiaan, etika; Simbol perlambangan untuk menyampaikan makna, dan lain-lain.
Turut ditayangkan kepercayaan-kepercayaan masyarakat zaman itu kepada shaman(bomoh), semangat dan ruh; sehingga muncullah begitu banyak perayaan dan ritual yang berdasarkan kepada kepercayaan-kepercayaan ni.

  (Terfikir bagaimana pulalah keadaannya semasa zaman Abbasiy 2, sudah pasti lebih dahsyat lagi.
Dengan maqamat, munazhorot, rasa-il, khutbah, kitabah dan bila mana bahasa Arab menjadi bahasa utama; tempat berkumpul para ilmuan, waktu giatnya irtihal para pencinta ilmu dari seluruh pelusuk negara; dari lembah Andalus, dari ceruk perkampungan Manbaj, bertawaf ke merata-rata; menuai dari ladang-ladang halaqat ilmu, ahh.

Dan bila dua pedoman utama umat ini mengalir ke wadi-wadi usul, mencapah ke sungai-sungai pelbagai disiplin ilmu; dan kembali kepada bahr yang tidak akan cukup-habis menuliskan ilmu milikNya; yang meneguk daripadanya tiap insan yang berhajat dan mencukupkan keperluan dan bekalan menuju Tuhan.)


meski kisah The Moon That Embraces The Sun ni ringkas, dengan plot-plot yang mampu dijangka, ringan dan santai selain babak-babak melucukan, (dan sudah pasti ada babak-babak yang tak perlu pun)

tetapi daya penariknya bagi seorang aku ialah budaya ilmi yang diterapkan kepada anak-anak para bangsawan ini sejak kecil. Mereka terdidik membaca karya-karya klasik, puisi2, sajak2 dan pantun2, selain menghafal sejarah dinasti-dinasti lalu (bagi anak-anak raja dan kerabatnya, mungkin termasuk anak-anak menteri), selain budaya berfikir, soal-jawab logik, dan kesemua kegiatan ilmiah ini yang melambangkan pemeliharaan warisan zaman-berzaman dengan akal dan dada generasinya. Lalu jadilah ia sejarah yang "hidup"; mengingatkan di kala lupa, mengilhamkan di kala sempit.

Entahlah. Mungkin aku je yang terlalu optimis dan romantis dengan segala yang dihidangkan kepadaku. (bukankah media alat propaganda paling berpengaruh? :P)

Watak-watak wanita bijak dan cerdik yang digambarkan dalam kedua-dua drama korea ini memang mengagumkan dan menginspirasi. Terutamanya drama Dong Yi; peranan wanita ini dalam menghadapi permainan politik di istana yang penuh dengan muslihat dan hasad dengki insan-insan yang tamak kerusi, bagaimana dia mengatur strategi, bagaimana dia menguji dan membezakan antara musuh dan kawan, dia yang berperanan sebagai sayap kiri bagi Maharaja, bagaimana dia mendidik anaknya dengan sifat-sifat keluhuran, menjawab persoalan-persoalannya dan membentuk arah pemikirannya, membantu anaknya mencapai kematangan akal lebih awal dari usianya; memilih guru yang bukan sekadar banyak ilmunya, bahkan bijaksana lagi mapan budi pekertinya.


Berkata tentang wanita-wanita cerdas dalam bidang keilmuan, aku pasti takkan lupa bahawa wanita-wanita sepanjang sejarah Islam juga punya sumbangan masing-masing; meski hasilnya dalam bentuk kitab atau maqalah itu jarang-jarang yang sampai kepada generasi terkemudian ini-kelemahan inilah yang menambahkan ke atas kelebihan mereka. (Menurut syaikh hamza yusuf; kerana tingginya tawadhuk dalam diri para ulama daripada golongan wanita, maka mereka tidak memilih untuk menulis kitab-kitab sepertimana ulama-ulama kibar terdahulu.)
walaupun demikian, dalam saf penyampaian majlis-majlis dan halaqat ilmu; para wanita yang dimuliakan Allah ini berdiri sebaris bersama ulama-ulama rijal ummah.

Aku sangat teringat kepada yang namanya Maryam itu; di zaman Andalusiy dahulu yang menyampaikan pengajiannya sehingga usianya mencecah 90tahun.
Dan qil riwayat yang mengatakan bahawa Imam Syafie sendiri berguru dengan begitu ramai wanita daripada para fuqaha', seperti mana juga ulama-ulama muktabar lainnya. Wallahu a'lam.


Penutup

Bagi aku, drama epik korea Dong Yi (khususnya) adalah kisah hikayat yang memenuhi citarasa. Aku mengharapkan lebih banyak filem-filem/ drama-drama Melayu yang menggambarkan kecerdasan para wanita bangsanya. Lebih-lebih lagi dalam soal keilmuan, dan didikan terhadap anak2 mereka.

Lagi best kalau filem yang melakonkan semula sunnah-sunnah Junjungan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam kehidupan sehari-hari di dalam rumah tangga (khususnya pendidikan-perlu beri lebih penekanan dari sudut ni)



P/S: Jadi, yang berbaki harus diambil dan diingati ialah mempersedia diri; mengoptimum akal dan kelebihan yang Tuhan beri. Bagi tiap insan ialah niatnya.




-sekadar catitan-catitan meninggal jejak untuk diri sendiri.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

jom ta'liq!