hayya nabda' bi..


بسم الله الرحمن الرحيم..



.dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Sabtu, 8 Februari 2014

Seminar Belia dan Intelektual-satu pandangan 1

Sejujurnya, seminar satu hari ini ialah pengalaman yang baik untuk saya; dan alhamdulillah perjalanan sepanjang hari dipermudahkan; dari meredah sejuk pagi berseorangan, sempat singgah ke madyafa pada petangnya untuk menghadiri kelas pertama daurah fiqh; sehingga akhirnya "dijumpakan" dengan 2 teman dan seorang musyrif untuk perjalanan pulang kembali ke hay 10.

Seminar ini jika diringkaskan dalam satu kalimah; "realiti" adalah perkataan pilihan.

Satu program yang bagi saya; adalah lebih membumi, tidak dipenuhi sekadar semangat-semangat membara; bahkan kekurangan-kelompongan diri ditayangkan selebar-lebarnya di hadapan mata.
Kami tidak sekadar ditekankan dengan kata-kata: "mahasiswa bertanggungjawab terhadap masyarakat," "Bila pulang ke tanah air; mahasiswa mesti berperanan"; bahkan diberi contoh, cara gerak dan bertindak yang mudah katanya; "praktikal" untuk dilakukan.

Panel pertama dalam slot "Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang" mengingatkan saya kembali kepada pertemuan kurang setengah tahun yang lalu dengan seorang aktivis tanah air; bilamana beliau menegaskan mahasiswa harus sedar perbezaan signifikan antara "aktivis" dan "aktivitis"; kerana kesan dan natijah serta manfaat yang akan sampai kepada masyarakat adalah berbeza.

Objektif penyampaian seperti yang ditegaskan oleh panel ialah beliau akan berkongsikan perspektif dan sudut pandangnya berkenaan skop tajuk yang mengarah kepada pendidikan- disebabkan maudhu' ini lebih dekat dengan mahasiswa.

Yang paling saya terkesan sepanjang penyampaiannya; panel menekankan peri pentingnya selaku mahasiswa; untuk sentiasa menilik diri; apakah telah mengoptimumkan semua aset yang dimiliki untuk akhirnya menyumbang kepada masyarakat? Kerana golongan mahasiswa ialah golongan yang mempunyai akses kepada ilmu, bergiat dalam lapangan ilmu, malah sebenarnya ialah golongan terpilih dan yang "diberi peluang" berbanding ribuan lagi individu2 yang terhalang daripada mendapatkan pendidikan disebabkan masalah kemiskinan dan lain-lain. Bertitik-tolak daripada perspektif ini; panel mula merungkai satu demi satu ketirisan yang sedang berlaku dalam masyarakat mahasiswa hari ini.

Keadaan semasa memperlihatkan tuntutan mahasiswa dalam bersuara; agar bebas membincangkan sebarang isu, agar teriak luahan pandangan didengari pihak berwajib, malangnya tuntutan-tuntutan ini seringkali terhenti sekadar "untuk bersuara", dan melepaskan emosi. Sedang sebenarnya alangkah baiknya jika kita menyedari bahawa manusia berhak untuk memperbincangkan sebarang ilmu, menyuarakan pandangan dan pendapat; tetapi hendaklah bersempadankan dengan adab. (saya kira harus ada pendefinisian terhadap adab dan penjelasan lebih khusus membincangkan tentang ini. juga. terhadap faham ilmu )

Golongan mahasiswa zaman IT juga terlibat secara langsung sebagai pengamal budaya "ekspres" dan akhirnya terjebak ke dalam penyakit "terburu-buru". Sindrom ini sangat jelas terlihat melalui kegiatan mahasiswa di laman muka buku. Tak sempat-sempat menilai sumber berita, (malah tidak sempat membaca sampai habis pun kadang-kadang), kursor terus dihalakan ke perkataan "kongsikan". Akhirnya inilah yang dikatakan masyarakat yang tidak pernah ketandusan maklumat, tetapi ketandusan adab. Lebih kronik, kita lebih gemar untuk percaya dengan paparan2 di muka buku tanpa timbang-tara yang benar dan adil.

Isu lain ialah "ignorance state"-ketidak pedulian dan tidak mahu keluar dari lingkungan selesa, malas berfikir, bersetuju untuk tidak bertanya "kenapa" sehingga yang muncul dan keluar dari pusat-pusat pengajian ialah mahasiswa-mahasiswa yang telahpun "disembelih", terperangkap dalam gejala bebalisme, tidak berupaya menyelesaikan masalah sendiri; apatah lagi umat dan masyarakat-bertitik-tolak dari kegagalan menganalisa masalah sebenar yang semakin hari semakin bercambah ke pelbagai daerah hidup.

Satu penyampaian yang cukup kemas, cukup mencengkam dan membuat diri terhantuk banyak kali. Serius.

Suka saya sebutkan di sini perkongsian pengalaman panel sendiri, semasa bergerak di malaysia bersama rakan-rakannya; dan merancang untuk menyusun satu program bersama anak-anak TFTN (),
beliau telah diberi amaran keras oleh pihak TFTN bahawa aktiviti kesukarelawanan yang mereka lakukan bukan untuk menambahkan kredit, bahawa kanak-kanak yang terlibat juga bukan sebagai kayu tambatan dan aktiviti pendidikan yang mereka lakukan bukan sekadar suka-suka- datang buat program kemudian habis- bahkan pihak TFTN mengalu-alukan kepada sesiapa yang berfikiran demikian untuk tidak turut-serta.
Di sinilah kami melihat betapa seriusnya mereka bekerja; bermasyarakat. Setelah memberi jaminan bahawa program yang dilakukan akan dibuat "follow-up" dan kajian selanjutnya, barulah panel dan kawan-kawannya dibenarkan melaksanakan program.

Kesimpulan.

Seminar yang seperti ini- yang pertama kali seumpamanya pernah saya hadiri (setelah gagal menghadiri Simposium UTAM pada tahun lepas) banyak membuatkan saya berfikir. Tentang diri sendiri. Tentang membina komuniti yang berbudaya ilmu, yang tidak segan malu kucing untuk membahas dan berbicara tentang ilmu, isu, (selain waktu study group dan usrah, tentunya -_-. Juga selain asyik membincangkan politik dan haraki) bukan sekadar untuk tidak segan, malah menjadikannya aktiviti paling giat. Kerana perbahasan-perbahasan ilmiah dan muzakarah-muzakarah ini adalah sangat penting (pernah juga dinyatakan oleh YDP Ustaz Mun'im sendiri) terutamanya semasa tempoh pengajian. Tempoh yang mana kemampuan akses kepada ilmu sangat terbuka luas.


Muhasabah.

Kalau betul ingin menegakkan "daulah islamiah" seperti gahnya zaman khulafa' misalnya zaman 'Abbasiy; tidak mahukah kita mencontohi semangat dan budaya ilmu seperti mana zaman itu? Zaman yang mana para petani meminta agar ilmu Usul Fiqh disusun dalam bentuk lebih mudah untuk mereka hafaz sehingga lahirlah Matan Waraqat?

Bukankah jelas-jelas menunjukkan pada kita; sedangkan para petani-masyarakat awam juga pada ketika itu mempelajari ilmu sesukar Usul Fiqh; maka apatah lagi yang namanya "Tholibul-Ilm"? Tidakkah kita berasa terlalu rendah dan kecil untuk melaung-laungkan slogan-slogan seperti "menjadi generasi ulama" apabila realiti sebenarnya setelah penat berteriak, kita pulang ke rumah dan bermain permainan di telefon bimbit berjam-jam, atau menonton drama-drama sepanjang hari, atau membaca novel-novel cinta, atau berteleku menelaah status-status muka buku berjam-jam; mengkagumi entah apa benda.

Tidak malukah kita bermalas-malasan; memberi alasan untuk tidak membaca perbahasan-perbahasan ilmiah atas alasan terlalu berat dan kritikal, memberi alasan untuk tidak membaca kitab-kitab dan teks klasik atas alasan ia memerlukan masa yang lama, juga menyorok-nyorok di balik kata-kata; "barangsiapa yang belajar tidak berguru maka syaitanlah gurunya" sedangkan hakikat sebenarnya ialah kita sedang membela kemalasan dalam diri dan lebih mencintai bersenang-senang menelan duit zakat yang diamanahkan untuk kita?



(sudah tahu tidak mampu membaca kitab sendiri; mengapa tidak keluar mencari kelas-kelas talaqqi kitab-kitab tersebut? Setelah itu pula ulang baca di rumah dan bertanya kepada guru istilah-istilah atau apa-apa yang menyangkut faham kita.
Kalau tidak pernah itqan membaca kitab-kitab dalam bahasa arab, tidak berusaha mengupayakan diri memahami istilah-istilahnya, maka jangan disalahkan bahasa kitab yang tinggi. Dalam kebanyakan masa; manusia terhalang mencapai sesuatu kerana dia yang tidak jujur dalam keinginannya)



Pasca Seminar.

Ada beberapa idea yang berlegar dalam fikiran yang perlu diperhalusi. Ironinya, beberapa orang teman juga mempunyai buah fikir yang sama yang kami peram hingga ke hari ini. -_- ah ruginya.
Moga dipermudahkan dan dipandu terus atas jalan lurus. amin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

jom ta'liq!