hayya nabda' bi..


بسم الله الرحمن الرحيم..



.dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Selasa, 30 Ogos 2011

YAKIN!!

Selalu terluncur dari lidah ini; yakinlah pada Allah, pertolongan-Nya pasti akan tiba..

Tetapi memperoleh yakin itu, tidaklah sukar apabila kita berasa senang, sedang duduk dalam zon selesa.. tiada masalah menimpa, semuanya terjadi adalah seperti apa yang kita harapkan..

Saya mendambakan 'yakin' tatkala diri berada dalam keadaan paling tertekan, apabila jiwa dan atma digoncang ujian, ketika mana motivasi diri berada pada tahap paling bawah, saat harapan itu hampir tiada, waktu cahaya hampir sirna dan terpadam..

kerana dugaan yang paling berat ialah saat keyakinan kita diuji, begitulah Dia tidak menguji mampu atau tidak kita menanggung sesuatu beban, kerana Dia tidak menetapkan melainkan yang termampu kita tanggung:

"Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala(dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa(dari kejahatan) yang dikerjakannya.."
(al-Baqarah; 286)

Kita semua pernah diuji atau sedang, atau bakal diuji, insyaAllah..

Tatkala itu, berpeganglah benar-benar kepada apa yang pernah kita tuturkan, waktu kita pernah berasa yakin dengan-Nya.. jangan pernah berserah dan pasrah sehingga benar-benar kamu TIDAK MAMPU lagi..

dan bagaimana ya takrifan tidak mampu itu?

Seorang syeikh telah mentakrifkannya semasa beliau memerintahkan anak-anak muridnya berlari bersamanya, sehingga sehabis usaha dan kemampuan,

Maka anak-anak murid yang patuh ini berlari, menggunakan tenaga mereka sesungguhnya, demi mentaati guru mereka.

Tidak beberapa lama selepas itu, seorang demi seorang berhenti berlari, ketika mereka merasakan lelah yang amat..

Tinggallah beberapa orang yang masih berlari, ada dalam kalangan mereka yang benar-benar kuat semangat, dan tidak kurang yang kuat stamina dan tenaganya..

Sehingga akhirnya kesemua mereka berhenti berlari, dengan peluh membasahi seluruh tubuh, menitik dari janggut-janggut mereka, dengan nafas yang tercungap-cungap..

Tetapi masih ada yang terus berlari!

Itulah guru mereka, wajahnya sudah memucat, menggambarkan keletihan yang amat sangat..

Mengapa beliau masih belum mahu berhenti?

"BUK!" Berlarilah anak-anak muridnya ke arah syeikh mereka, yang telah pun berhenti berlari, kerana beliau sudah terjatuh, tidak sedarkan diri.

"Mengapa guru masih meneruskan larian, walaupun guru sudah terlalu penat..?" soal salah-seorang anak muridnya, setelah syeikh tersebut pulih dari pengsan.

"Bukankah telah aku perintahkan agar kamu berlari, sehingga sehabis kemampuanmu? Apakah kau telah mencapai ke tahap itu?"

Nah.. Renung dan fikirkan bersama.. apa yang dikatakan mampu itu tak terjangkau kiranya dek akal mahupun 'rasa' kita.. justeru, berusahalah sehabis-habis usaha, sehingga telah kamu kerahkan seluruhnya, dan yakinlah, kerana pertolongan-Nya amat dekat bagi orang-orang yang yakin..

Ya Allah, aku menghendaki kebaikan dari jalan yang telah tertakdir atas pilihanku ini.. maka permudahkanlah, dan jangan Kau susahkan.. dan masukkan kami dalam golongan hamba-hamba-Mu yang yakin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

jom ta'liq!