hayya nabda' bi..


بسم الله الرحمن الرحيم..



.dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Rabu, 31 Ogos 2011

الاجتهاد..

akan sibuk mulai hari ini.. seumur hidup juga tak akan cukup menebus kesia-siaan beberapa detik yang lalu.. saya merancang, kamu merancang, tetapi perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan..

dalam proses menjadi hamba-Nya yang benar-benar yakin.. ayuh!! bukakan hati kita agar cahaya-Nya menyentuh..


Selasa, 30 Ogos 2011

YAKIN!!

Selalu terluncur dari lidah ini; yakinlah pada Allah, pertolongan-Nya pasti akan tiba..

Tetapi memperoleh yakin itu, tidaklah sukar apabila kita berasa senang, sedang duduk dalam zon selesa.. tiada masalah menimpa, semuanya terjadi adalah seperti apa yang kita harapkan..

Saya mendambakan 'yakin' tatkala diri berada dalam keadaan paling tertekan, apabila jiwa dan atma digoncang ujian, ketika mana motivasi diri berada pada tahap paling bawah, saat harapan itu hampir tiada, waktu cahaya hampir sirna dan terpadam..

kerana dugaan yang paling berat ialah saat keyakinan kita diuji, begitulah Dia tidak menguji mampu atau tidak kita menanggung sesuatu beban, kerana Dia tidak menetapkan melainkan yang termampu kita tanggung:

"Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala(dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa(dari kejahatan) yang dikerjakannya.."
(al-Baqarah; 286)

Kita semua pernah diuji atau sedang, atau bakal diuji, insyaAllah..

Tatkala itu, berpeganglah benar-benar kepada apa yang pernah kita tuturkan, waktu kita pernah berasa yakin dengan-Nya.. jangan pernah berserah dan pasrah sehingga benar-benar kamu TIDAK MAMPU lagi..

dan bagaimana ya takrifan tidak mampu itu?

Seorang syeikh telah mentakrifkannya semasa beliau memerintahkan anak-anak muridnya berlari bersamanya, sehingga sehabis usaha dan kemampuan,

Maka anak-anak murid yang patuh ini berlari, menggunakan tenaga mereka sesungguhnya, demi mentaati guru mereka.

Tidak beberapa lama selepas itu, seorang demi seorang berhenti berlari, ketika mereka merasakan lelah yang amat..

Tinggallah beberapa orang yang masih berlari, ada dalam kalangan mereka yang benar-benar kuat semangat, dan tidak kurang yang kuat stamina dan tenaganya..

Sehingga akhirnya kesemua mereka berhenti berlari, dengan peluh membasahi seluruh tubuh, menitik dari janggut-janggut mereka, dengan nafas yang tercungap-cungap..

Tetapi masih ada yang terus berlari!

Itulah guru mereka, wajahnya sudah memucat, menggambarkan keletihan yang amat sangat..

Mengapa beliau masih belum mahu berhenti?

"BUK!" Berlarilah anak-anak muridnya ke arah syeikh mereka, yang telah pun berhenti berlari, kerana beliau sudah terjatuh, tidak sedarkan diri.

"Mengapa guru masih meneruskan larian, walaupun guru sudah terlalu penat..?" soal salah-seorang anak muridnya, setelah syeikh tersebut pulih dari pengsan.

"Bukankah telah aku perintahkan agar kamu berlari, sehingga sehabis kemampuanmu? Apakah kau telah mencapai ke tahap itu?"

Nah.. Renung dan fikirkan bersama.. apa yang dikatakan mampu itu tak terjangkau kiranya dek akal mahupun 'rasa' kita.. justeru, berusahalah sehabis-habis usaha, sehingga telah kamu kerahkan seluruhnya, dan yakinlah, kerana pertolongan-Nya amat dekat bagi orang-orang yang yakin..

Ya Allah, aku menghendaki kebaikan dari jalan yang telah tertakdir atas pilihanku ini.. maka permudahkanlah, dan jangan Kau susahkan.. dan masukkan kami dalam golongan hamba-hamba-Mu yang yakin..

Isnin, 29 Ogos 2011

Baca Sendiri..

Cinta yang tidak terikat dek gari-gari dunia, itu cinta yang tertinggi buat manusia sebenarnya ~


Cerpen: Yang Tertinggi Cintanya.

Al-Quran itu dipegang dengan kemas. Mata menumpukan perhatian. Hati seakan-akan sedang bersemayam di atas awan. Membaca dengan penuh penghayatan.
Dia perlukan ketenangan yang lebih. Allah sedang mengujinya.
Surah Toha itu dialun suaranya, gemersik memenuhi ruang biliknya. Surah kesenangan di kala gundah, surah kekuatan di kala susah.
“Ehem.”
Dan pembacaannya terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh.
Farid Mursyidi sedang menyandarkan bahu pada bingkai pintu, dengan wajah dihiasi senyuman nakal.
“Nak apa?” Dia bertanya perlahan, sambil memusingkan seluruh tubuhnya, tetapi masih kekal bersila. Dia tahu, pastinya Farid perasan wajah monyoknya itu. Perlahan-lahan Farid mendekatinya.
“Masih bermasalah dalam membuat pilihan wahai sahabatku Syakir Muntasir?” Bahunya ditepuk, dan Farid kini bersila di hadapanya. Lutut bertemu lutut.
“Aku masyghul la. Keputusan yang sukar.” Syakir menggaru kepala.
“Istikharahnya macam mana?”
“Apa, kau ingat semua istikharah keluar mimpi bagi jawapan? Kalau macam itu baik aku istikharah setiap malam periksa.” Syakir menjelirkan lidah. Farid seakan-akan tidak tahu bagaimana sistem istikharah yang sebenarnya berfungsi.
Farid tertawa senang. Bahu Syakir ditepuk beberapa kali. Mungkin memahami, sambil terkesan dengan canda tadi.
Istikharah bukanlah satu keajaiban untuk menggolekkan jawapan kepada kita. Istikharah hakikatnya perlu diiringi usaha membuat kalkulasi yang baik. Tanda istikharah bukan semestinya mimpi, tetapi hakikatnya adalah ketenangan hati yang kuat apabila membuat keputsan.
“Aku nampak jalan ke sebelah B lebih benar dan aku macam lebih tenang ke sana.” Syakir melepaskan keluhan. Nampak bahawa Jalan B bukan jalan pilihan asalnya.
“Kau rasa, kalau kau pilih jalan B, jalan A akan hilang?”
Dan kini matanya dan mata Farid bertaut. Sengih kelat muncul pada wajah Syakir. “Lebih kurang. Kau tahu aku cintakan Humaira’ bukan? Aku hanya perlu tunggu dua tahun sahaja lagi.”
“Tapi pada masa yang sama, kau perlu berkahwin sekarang. Kau adalah orang yang siap, sudah bersedia, dan kau memang perlu kahwin. Kalau tak, resah gelisah tak berhenti. Fokus terganggu. Namun, memilih Anum Sakeena ada downsidenya.”
“Ada ‘banyak’ downsidenya.” Syakir menambah.
Farid pula yang menghela nafas kali ini. Ya, keputusan yang sukar.
“Kadang-kadang Syakir, walaupun kita ini manusia yang ikuti jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia bukan?” Farid menolak tubuh, bersandar pada dinding. Melunjur kaki, sambil memandang siling.
Jiwa Syakir seakan tercucuk dengan kalam itu. Dia melihat sahaja sahabatnya itu.
“Maksud?”
“Yalah. Kalau aku, aku akan biarkan sahaja Anum. Aku akan sanggup tunggu Humaira’. Aku sanggup menderita dua tahun, dari ambil risiko duduk dengan Anum. Tambahan, dalam posisi kau, aku cintakan Humaira’. Tinggal…” Kata-kata Farid terhenti. Dia melirik kepada Syakir.
Mata Syakir dan Farid bertemu. Syakir hanya diam. Ingin Farid menyempurnakan bicara.
“Tinggal kita tahu, Anum memerlukan bantuan kita, pertama. Kedua, dalam posisi kau, kita memerlukan kehadiran Anum yang sanggup berkahwin dengan kita sekarang. Ketiga, hajat Anum bukan hajat yang kecil, dan belum ada yang sanggup membantunya, sedang kita telah terlanjur memikirkannya, tambah pula dalam posisi yang siap untuknya.”
“Kita? Kau ajalah yang pergi ambil Anum.”
Farid tertawa. “Kita di sini bermaksud kau lah. Aku mana mampu kahwin lagi. Kau dah mampu, tinggal kena tunggu sebab nak kejar cinta sahaja. Itulah yang aku kata, kita ini walaupun ikut jalan dakwah dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia. Kita amat tahu relevannya hajat Anum, tetapi kita rasa sukar nak penuhi hajat dia, sebab hajat dia tak ada harganya di atas dunia. Hanya berharga di akhirat sana. Aku sebut kita, sebab kalau aku jadi engkau, aku sendiri jadi berat.”
Suasana bilik itu senyap sebentar. Seakan menunggu giliran, azan isya’ dari Masjid University of Yarmouk kedengaran. Azan mendayu-dayu, seakan waktu rehat dari perbincangan yang mengkusutkan itu.
Dunia dan akhirat. Orang-orang yang mengikuti jalan dakwah dan tarbiyah pun, adakalanya masih tergari dengan dunia. Sedangkan, secara sedarnya, dia tahu apa pilihan yang patut dia lakukan.
Azan tamat. Doa. Mata Farid dan Syakir kembali bertemu. Masih senyap.
Perlahan-lahan Farid berdiri, dan mendekati Syakir. Bahunya disentuh lembut.
“Mungkin ada waktu itu, kita kena belajar untuk campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya. Kena berani buat leap of faith.”
Kemudian Farid bergerak keluar dari bilik. Pastinya hendak menuju ke masjid.
Syakir keseorangan.
Campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya.

*******

Anum Sakeena. Seorang yang pada zahirnya kelihatan seperti bidadari. Dia lawa. Dia cerdas. Dia juga aktif dalam urusan dakwah dan tarbiyah. Lebih mencantikkan peribadinya, dia tiada kasta. Dengan rakan-rakan yang tidak berapa faham Islam pun, dia masih bergaul, mendekati, dan memesrai. Sebab itu pelajar-pelajar perubatan dan pergigian di Jordan amat mengasihinya. Pembetulan, semua pelajar di Jordan ini mengasihinya.
Namun Allah SWT menguji. Anum Sakeena dipercayai mempunyai Systemic Lupus Erythematosus atau SLE. Satu penyakit yang akan meragut nyawanya untuk satu jangka masa yang tidak lama lagi. Tetapi tiada siapa yang melihat Anum Sakeena bersedih hati atau kegelisahan. Dia seakan-akan manusia paling tabah yang berjalan di atas dunia ini. Dia tidak pula pulang ke Malaysia dan berhenti belajar seakan-akan dunia telah kiamat. Dia masih meneruskan kehidupan, studi dengan rajin, dan hidup dengan gembira.
Tetapi, ada satu perkara yang menggusarkan Anum Sakeena. Dan perkara itu tidak diceritakan kepada sesiapa, kecuali seorang manusia yang diyakininya dalam keadaan mampu, dan mungkin akan membantunya.
Itulah dia Syakir Muntasir. Pelajar Tahun 3 Fiqh Wa Usuluhu di University of Yarmouk. Satu angkatan dengan Anum Sakeena, tinggal Anum Sakeena mengambil pengkhususan Iqtisod Islami.
Syakir Muntasir sangat terkenal dengan manusia yang lebih tua dari usianya. Walaupun di luar Syakir kelihatan seperti manusia yang tidak peduli apa-apa, tetapi apabila keadaan memerlukan seorang Syakir Muntasir untuk serius, tiada sesiapa yang mampu menghentikannya. Fikirannya matang, fikrahnya jelas, disiplinnya tinggi, pandangannya jauh, dan dia seorang yang siap untuk memikul tanggungjawab yang besar, juga mampu menghadapi banyak dugaan kehidupan.
Dan Anum Sakeena amat pasti, Syakir Muntasir sedang mempersiapkan diri ke gerbang perkahwinan, memandangkan ura-ura bahawa lamaran lelaki itu ditolak, atau lebih tepat lagi, ditangguhkan untuk diterima, telah tersebar dalam komuniti di sini. Perempuan itu nampaknya tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab pada ketika ini. Dua tahun dimintanya tangguh. Berita sebegini tidak sukar didapati, kerana Syakir Muntasir sangat terkenal di sini. Sama ada dia mendiamkan segala cerita di dalam tubuhnya seorang, atau cerita itu akan bergerak meliputi seluruh Jordan dalam masa yang sekejap sahaja. Dan Syakir Muntasir juga manusia, pasti paling kurang dia akan berkongsi masalah hidupnya dengan teman-teman karib.
Mendengar berita itu, Anum Sakeena terasa seakan-akan Allah membukakan jalan untuknya. Walaupun dia tidak tahu, apakah perancangan Allah SWT yang sebenarnya, namun nyatanya dia telah membuat kalkulasi dan merasakan inilah yang terbaik. Maka dengan berani, setelah mendapat izin ibu ayahnya, dia mewakilkan seorang senior tahun 6 Perubatan untuk menyampaikan hajatnya kepada Syakir Muntasir.
“Anum Sakeena ingin dirinya dikahwini Syakir Muntasir, kerana adalah satu hajatnya yang besar sebelum meninggalkan dunia ini dia meninggalkan satu saham akhirat yang besar untuk dirinya, dan meninggalkan satu hadiah yang besar untuk Islam di atas dunia. Itulah dia seorang anak. Anum Sakeena ingin ada cebisan dirinya, yang tinggal di atas dunia ini untuk terus memberikannya pahala, dan berjuang untuk Islam buat dirinya.”
Dan saban hari, Anum Sakeena berdoa agar Allah SWT memakbulkan hajatnya, atau memberikannya sesuatu yang lebhi baik.
Itulah hajatnya.
Dan bukan sebarang orang akan menyahutnya.

******

Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Syakir bangun dari pembaringannya malam itu. Saat dia yakin dan tenang dengan keputusannya. Saat dia membuat keputusan, untuk membuat satu anjakan paradigma, lompatan saujana yang akan mengubah lorong hidupnya.
Dia mencapai telefon bimbitnya. Ibu Humaira’ dihubungi.
“Ibu, Syakir rasa, Syakir nak buat keputusan ini.”
Dan hanya esak tangis sahaja kedengaran. Syakir tabah. Tidak tergugah.
Ummi Abahnya dihubungi. “Syakir nekad.”
Dan Ummi Abahnya tidak berkata apa-apa lagi. Menyokong, dan mendoakan.
Dia menggenggam erat tangannya. Keputusan yang berat. Tetapi hendak diluahkannya.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Mendail nombor terakhir. Kak Rasyidah, pelajar perubatan tahun 6 yang menghubunginya tempoh hari mewakili seorang Anum Sakeena.
“Akak, saya setuju. Sampaikan kepada Anum.”
Dan selepas itu dia terduduk.
“Aku telah membuat lompatan itu Ya Allah. Dan sekarang, aku serahkan diriku sepenuhnya kepada Engkau. Sungguh, aku hanya hambaMu yang tidak mengetahui apa-apa. Membuat keputusan ini, sekadar ingin menghormati seorang mujahidah yang benar-benar mencintaiMu Ya Rabb. Nyatanya, aku sebelum ini tidak mencintaiMu sehebat Cintanya, yang walau matipun masih ingin terus berjuang untukMu.”
Bukan senang melepaskan apa yang selama ini dikejar. Bukan senang memilih sesuatu yang diketahui tidak lama lagi akan hancur. Bukan senang hendak mengenepikan pilihan sendiri, perasaan hati, untuk memilih sesuatu yang benar dan hakiki, kerna biasanya walaupun pilihan diri itu salah, itulah yang disenangi. Dan hari ini dia melakukan, apa yang ramai manusia tidak mampu.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia.
Air mata mengalir deras di pipi Syakir Muntasir malam itu.

******

“Sebenarnya, berapa lama lagi masa untuk awak hidup?” Soalan itu muncul dikala langit sedang indah ditemani bulan mengambang.
Anum menatapnya, dan tersenyum. “Tidak tahu. Tetapi doktor kata, boleh jadi panjang sekiranya tidak melahirkan anak. Awak pun dah dengar nasihat doktor masa awal-awal teman saya buat pemeriksaan semula dulu, bukan?” Dulu. Macam telah lama. Sedangkan, mereka baru setahun berkahwin.
“Jadi, kenapa hendak melahirkan anak?”
Senyuman Anum melebar. Dan senyuman itu sangat-sangat indah. Bulan mengambng jua bukan tandingan. Nyata ini syurga yang berada di atas dunia. Dan Syakir merasainya.
“Awak sudah tahukan?”
Dan giliran untuk senyumannya pula memekar.
“Tidak takut?”
Anum menggeleng. “Sebab akhirnya, kita akan mati juga. Lebih baik mati meninggalkan sesuatu untuk akhirat kita, daripada mati tidak memberikan apa-apa.”
Tangan Anum dipegang erat. Dikucup. “Saya minta maaf.” Lembut Syakir bersuara.
Anum mengiring. Kerusi malas yang menjadi tilam pembaringan mereka kini berbunyi. Antara aktiviti kegemaran, berbaring di atas kerusi malas bersama-sama, sambil menatap bulan mengambang indah. “Kenapa nak minta maaf?”
“Sebab awal-awal dahulu, saya tidak mencintai awak. Saya sebenarnya ragu-ragu. Tetapi hari ini, saya rasa saya tidak sepatutnya ragu-ragu. Saya sepatutnya terus menyahut.” Syakir turut mengiring. Wajah mereka berhadapan.
Majlis kahwin mereka sederhana sahaja. Ummi Abah datang ke Jordan bersama keluarga Anum, dan mereka berkahwin di Jordan. Saudara mara yang tahu, tidak ramai memberikan sokongan. Sebab semua melihat seakan-akan dia melemparkan diri ke dalam satu kecelakaan. Dia dihujani pelbagai tohmahan dari keluarganya sendiri yang tidak memahami. Abah dan Ummi pun tidak banyak membincangkan hal ini, kerana pada asalnya, Abah dan Ummi juga tidak berapa setuju. Tinggal keyakinannya sahaja yang akhirnya membuatkan tindakan itu mendapat restu.
Bukan satu keputusan yang mudah.
Hanya yang berani melepaskan segala-gala, dan percaya hanya padaNya sahaja yang mampu.
Tetapi hari ini, kepercayaan Syakir itu terasa seperti telah dibalas.
“Em, awak memang patut ragu-ragu. Bukan satu keputusan yang ringan. Dan saya yang patut minta maaf. Sebab saya macam dah hancurkan hidup awak. Awak tak berada di atas ‘track’ yang awak nak.” Anum mendekatkan wajahnya, hingga dahinya dan dahi Syakir bertemu.
Syakir menggeleng perlahan. Dahi mereka bergesel. “Ini memang bukan ‘track’ yang saya nak. Tetapi saya rasa, ini ‘track’ yang Allah nak, berdasarkan apa yang saya dapat bila bersama awak selama ini.”
Bayangkan, melihat bakal mayat yang langsung tidak seperti manusia yang berpenyakit maut. Hidupnya tetap ceria. Hidupnya tetap bersemangat dan gembira. Studinya terjaga, bahkan dijaga pula studi Syakir. Anum banyak memunculkan momen-momen indah. Program-program yang mengingatkan mereka berdua kembali kepada Allah SWT juga hangat dirancang oleh Anum. Rumah mereka seakan-akan bercahaya.
Baca Al-Quran sama-sama, malam Jumaat qiamullail bersama, Isnin Khamis puasa bersama, studi bersama-sama, keluar beriadhah di kala petang bersama-sama, pergi berziarah rakan-rakan bersama-sama, melaksanakan program dakwah dan tarbiyah bersama-sama. Dan banyak perkara lagi. Dalam semua itu, dia belajar daripada Anum.
Bagaimana walaupun tahu umur tidak panjang, kekuatan tetap mengisi kehidupan dan diri terus-terusan bergerak dengan cergas hidup sebagai hamba Tuhan. Tidak merungut menyumpah Allah SWT yang memberikannya penyakit itu. Tidak pula mengeluh. Tetapi apa yang dilakukan adalah, mencari segenap ruang dan peluang, mengisi hari-hari yang berbaki untuk menjadi bermakna. Bermakna kepadanya, dan kepadaNya.
Syakir Muntasir bersyukur. Dia tidak tahu bagaimana kalau dia terus menunggu Humaira’. Dua tahun bukan jangka masa yang pendek. Pasti pelbagai halangan, cabaran dan dugaan muncul. Namun memilih Anum, dua tahun itu tidak dilaluinya. Dia melalui saat-saat indah pada setiap masa.
Dia yang awal-awalnya serba salah, kini rasa tenang. Anum Sakeena, seindah namanya. Anum: Rahmat daripada Tuhan. Sakeena: Ketenangan.
Syakir berharap, ketenangan dan kebahagiaannya kekal.
Kekal…
Tiba-tiba terasa tangannya dipegang erat. Dia kembali ke alam realiti, dengan Anum di hadapannya.
“Awak, saya ada satu berita gembira sebenarnya malam ini.”
“Apa dia?” Bibirnya terhias dengan senyuman.
“Saya mengandung. Tiga minggu.”
Matanya membesar.
Kekal…
Itu mustahil bukan?

*******

Harinya tiba. Dan dia hampir sahaja tidak percaya semuanya berlaku dengan pantas.
Kini dia hanya berdiri, dan di hadapannya adalah sekujur mayat yang telah kaku. Minit-minit terakhir amat memeritkan hatinya. Kini air matanya menitik-nitik pada bayi lelaki yang sedang berada dalam gendongannya.
Semalam, Anum Sakeena selamat melahirkan anak. Namun akibatnya, kondiri kesihatannya merudum di tahap kritikal. Kerosakan pada organ dalamannya merebak dengan pantas akibat melahirkan anak. Satu perkara yang telah lama dipesan oleh doktor.
Beberapa bulan yang lepas, Doktor menasihatkan agar digugurkan kandungan untuk memanjangkan lagi nyawa Anum. Tetapi isterinya berkeras.
“Saya tetap akan mati juga!”
Dia sendiri, di dalam hati, inginkan Anum Sakeena hidup lebih lama. Dia bahagia dengan Anum. Dia rasa tenang dengan Anum. Tetapi melihat nekadnya isterinya, dan mengapa mereka berkahwin pada asalnya, membuatkan dia tidak pernah menyebut hajatnya itu. Dia menghormati cita-cita isterinya. Anum Sakeena terus mengandung hingga pada hari melahirkan anak mereka.
Sempat pula menduduki peperiksaan final pada tahun akhirnya, dalam keadaan sarat mengandung. Hari-hari sepanjang mengandung, dia tetap ceria, walaupun kandungan itu seakan bom jangka yang menandakan hari kematiannya.
“Awak tahu apa yang saya seronok?”
“Apa dia sayang?”
“At least, saya tahu bila saya mati. Boleh persiapkan diri habis-habisan.”
Anum menjawab dengan senyuman seakan-akan itu bukan satu musibah.
Ketika itu, Syakir Muntasir terpaksa meminta izin untuk ke tandas, dan menangis teresak-esak di dalam tandas keseorangan. Tersentuh.
“Kenapa awak tak pernah takut? Orang ramai takut mati.”
“Ah ah, takut buat apa? Pelik, kenapa mesti takut untuk balik kepada Yang Maha Mencintai kita?”
Tersentuh. Entah, hari-hari anak itu berada di dalam rahim Anum, terasa seperti saat kemuncak kehidupan seorang Syakir Muntasir. Matanya lebih terbuka. Dia lebih banyak belajar. Hatinya jadi lebih senang tersentuh. Dan pertama kali dia merasakan bahawa, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Langsung tidak punya tenaga, seakan itulah pertama kali dia menyedari kekerdilan dirinya terhadap Rabbnya.
“Nama dia, Mujahid Muntasir. Pejuang yang mendapat bantuan. Sebagaimana Syakir Muntasir, orang yang bersyukur yang mendapat bantuan.” Dia bersuara menamakan anaknya itu semalam, di hadapan Anum yang teramat lemah.
“Awak dapat bantuan apa?” Anum Sakeena yang pucat lesi ketika itu bertanya sambil tersenyum, walaupun senyumannya ketika itu kelihatan tawar kerana kepenatan dan menanggung kesakitan teramat.
“Allah beri bantuan, untuk saya pertingkatkan kehidupan dan pemikiran saya, dengan awak, sayang.” Jawapannya. Seikhlas hati. Tetapi itu tidak menyelamatkan nyawanya.
“Terima kasih sebab terima saya. Terima kasih, kerana merealitikan impian saya. Sekarang saya rasa sudah tiba masanya.” Anum dengan air mata meleleh, pagi tadi. Meragut segala ketenangan yang wujud di dalam jiwa Syakir.
Doktor memanggilnya masuk pagi tadi, dengan menggendong anak mereka, dia duduk di sisi perempuan yang dicintainya. Nyata, doktor memberikannya peluang untuk mengucapkan selamat tinggal.
Dia tidak mampu berkata apa-apa. Air matanya lebih deras dari air mata Anum.
“Anak Ummi, jadi saham akhirat Ummi ya. Mujahid, jadi Mujahid ya. Membesar jadi anak yang soleh, da’ie yang baik, tewaskan jahiliyyah, dan bawa seramai mungkin manusia ke syurga Allah ya?” Tangan Anum yang terketar-ketar ketika itu, berusaha mengusap lembut bayi mereka.
“Saya cintakan awak Anum Sakeena.”
Anum ketika itu menggeleng. “Awak cintakan Allah, sebab itu awak cintakan saya. Lepas ini, kerana cintakan Allah itu, awak akan berkahwin dan mencintai pula perempuan yang lain. Sebagaimana kerana awak cintakan Allah, awak menerima dan mencintai saya. Awak, jaga diri ya?”
Akhirnya dengan lafaz syahadatain dan wajah penuh ketenangan seperti seorang pemenang, Anum menghela nafas terakhir sebentar tadi. Dan Syakir Muntasir kini sekadar berdiri di sisinya, bersama Mujahid Muntasir yang masih tidak mengetahui apa-apa.
Cinta inilah yang tertinggi.
Cinta kepada Allah, hingga merancang untuk beramal selepas kematian.
Cinta kepada Islam, sehingga merancang untuk terus menyumbang selepas kematian.
Cinta kepada orang sekeliling, hingga mendidik agar semuanya mampu terus bergerak selepas kematian.
Cinta yang sebenar, hingga mampu memutuskan segala gari dunia, yang mengikat pada tubuh hamba. Benar-benar seakan berdiri di atas jalan yang cerah, dan tidak berselirat dengan perangkap ke neraka.
Pada umurnya baru 23 tahun, Syakir Muntasir seakan-akan telah mendapat sesuatu yang besar. Dirinya seakan-akan seorang yang baru.
Teringat dia pada saat dia membuat keputusan ini. Keputusan yang mengorbankan rasa hati, untuk memenuhi rasa Ilahi. Dia melihat apa yang dia perolehi hari ini.
“Ya Allah, aku rasa bersyukur membuat lompatan itu dan mempercayaimu.”
Air mata Syakir Muntasir tidak berhenti.
Dan akhirnya Mujahid Muntasir terjaga, dan menangis.

******

30 tahun. 7 tahun telah berlalu.
“Tua dah kita ni ya?” Suara Farid menariknya kembali.
Syakir mengangkat sebelah kening.
“Belum cukup tua untuk berhenti bekerja sebagai hambaNya.”
“Tua yang itu, hanya di kala mati sahaja.” Farid tertawa.
“Dan ada orang, merancang bagaimana di kala ‘tua’nya, masih mampu menyumbang.” Syakir menghela nafas.
Dia dapat melihat Farid mengangguk perlahan. “Aku banyak belajar daripada dia. Nyata, dua tahun bersamanya adalah untuk menjadikan aku, aku yang hari ini.”
“Kita sama-sama belajar daripada dia. Semoga Allah rahmati dia di akhirat sana.” Farid bersuara, sambil terus memandang horizon.
Bunyi ombak menghempas pantai mengisi ruang senyap antara mereka.
“Abah, abah!” Satu suara memanggil.
Dia dan Farid sama-sama menoleh. Seorang anak lelaki berumur 5 tahun, comel, berlari-lari mendapatkan Syakir. Terus merebahkan diri dalam pelukan Syakir.
“Anak saudara pakcik nak apa dengan Abah dia ni?” Farid menggeletek. Anak itu tertawa.
“Mukmin cari Abang Mujahid sebenarnya. Kenapa tak nampak dia?” Dia bersuara comel.
“Ah, Abang Mujahid ada di sana.” Syakir menunjuk ke arah batu karang besar yang terdapat pada hujung tunjukannya.
Kelihatan seorang anak lelaki, berumur 7 tahun, bersila dengan tenang sambil menghadap laut, dengan Al-Quran di tangannya. Mujahid Muntasir, itulah namanya.
“Mukmin perlahan-lahan ya pergi pada Abang Mujahid.” Syakir mengucup ubun-ubun Mukmin. Mukmin Muntasir nama penuhnya.
“Em.” Mukmin terus berlari-lari anak ke arah Mujahid.
Farid dan Syakir sama-sama memandang ke arah anak itu berlari.
“Mujahid sedang ulang hafalankah?”
“Mungkin. Bayangkan, pada umur 3 tahun sudah fasih membaca Al-Quran, saat anak-anak lain pelat untuk berbahasa melayu. Umur 5 tahun sudah menghafal 5 juzu’ Al-Quran, dan sekarang dia sudah hampir menghafal 30 juzu’.”
“Aku tahu. Dia juga nampak amat matang. 7 tahun, tapi macam remaja belasan tahun.”
“Genetik ibu dia agaknya.” Syakir tersengih. Teringat Anum Sakeena.
“Naa, tarbiyah sebenarnya. Kau pun cerita, macam mana Anum masa mengandung. Penuh penjagaan, penuh pengisian. Makanan dijaga, ibadah dipertingkat. Itu semua memberikan kesan.” Farid sekadar tersenyum.
“InsyaAllah, Mujahid ini pasti akan membesar menjadi seorang yang hebat nanti.”
“Macam Abah dia.” Farid menyiku Syakir. Syakir sekadar tertawa. Siapa tidak kenal Dr Syakir Muntasir hari ini di Malaysia? Antara orang terkenal yang memberikan motivasi kehidupan kepada masyarakat melalui pelbagai medium. Radio, televisyen, internet. Juga mempunyai Syarikat Consultancy Sakeena, yang giat memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah dan universiti, juga keluarga-keluarga.
“Abang-abang sekalian, makanannya dah siap!” Satu suara lembut melaung.
Syakir dan Farid sama-sama menoleh ke arah suara itu.
Kelihatan Amalina, isteri Farid melambai. Di sisinya terdapat seorang anak lelaki. Anak itu bernama Hasyim Mursyidi. Berumur 4 tahun. Anak itu berdiri antara ibunya, Amalina, dan seorang lagi perempuan.
“Bidadari dah panggil, jom!” Bahu Syakir ditepuk. Mereka bingkas bangun.
Syakir dan Farid berjalan mendapatkan tiga manusia itu. Farid terus berpimpinan tangan dengan Amalina dan Hasyim. Manakala Syakir terus memaut pinggang perempuan yang lagi satu, sambil tersenyum senang.
“Mana Mujahid dengan Mukmin?”
“Itu. Kita kena pergi ambil mereka dulu. Jom?” Syakir menunjuk.
“Jom.”
“Gelaran Aisyah RH adalah Humaira’. Dan dia pernah lumba lari dengan Rasulullah SAW. Dare to race with me o Humaira’ Arisha?”
Terus Humaira’ Arisha berlari.
Game on Syakir Muntasir!” Humaira’ melambai tangan.
“Tak aci!” Syakir menjelir lidah, dan terus berlari mendapatkan Humaira’.
Nyata, selepas apa yang berlaku kepada Anum Sakeena, Humaira’ menunggunya. Bahkan tersentuh dengan Anum Sakeena, Humaira’ berhajat mencontohi perempuan itu. Yang telah berjaya melepasi sempadan cinta biasa.
Menjadikan cintanya cinta yang tertinggi dari segala manusia.
Syakir Muntasir tersenyum sendiri.
“Aku bersyukur dengan lompatan yang mengubah hidupku itu Ya Rabb.”
Lepaskan segala-gala, percayakan Dia!
© Langitilahi.com

diri dan 1 sen(2)

Lalu ada yang berkata; tidakkah diri itu sebenarnya terlalu tinggi nilainya?

Bukankah 'diri' itu nanti yang akan memperjuangkan agama Allah di muka bumi ini?

Bukankah kerana wujudnya 'diri' yang dahulu tegar seorang diri menyeru Agama Langit ini lalu kita sekarang mengecap kemanisannya?

Bukankah kerana 'diri' dan 'diri' yang teguh menegakkan panji-panji Islam sehingga sampai kepada kita kalam "Laa ilaha illallah"...?

Bukankah semua itu atas jasa seorang "diri"..? Lalu mengapa diletakkan nilainya serendah 1 sen? Bukankah nilainya adalah terlalu tinggi, terlalu berharga...?

Kata-katanya tidak pernah salah..

Kerana hakikat yang dikatakan pada "diri" itulah terletak sebuah perjuangan, meraih kemuliaan dan kemasyhuran, ialah apabila ALLAH MENGHENDAKI dan "diri" itu TIDAK PERNAH LARI DARIPADA-NYA...

Mulianya seorang Umar kerana Islam yang dipegang dan dibawa..

Islam itulah yang menjadikan nilai "diri" Umar itu tinggi menjulang..

Justeru beliau memandang dirinya tidak lebih sekadar seorang hamba kepada tuhannya, maka kita memandang pada dirinya NILAI yang tidak terkirakan..

Justeru kerana keimanannya kepada Yang Maha Esa, lantas tidaklah kita melihat pada dirinya melainkan kemuliaan yang tak tercapaikan..

Seandainya seorang "diri" itu adalah mulia disebabkan zatnya sendiri, maka apa yang kita nampak pada diri Firaun laknatullah? atau pada diri Qarun..?

Nilai diri kita tidak lebih dari sekadarnya, tetapi tidak bermakna kita tiada harga diri..

Menilai diri kita hina, sehina titisan air mani itu ialah nilaian diri kita bila berhadapan dengan Allah..

Pabila kita merendah hati dan diri di hadapan Allah, nescaya Dia mengangkat kita lebih tinggi pada pandangan manusia..
Dan apabila menyedari diri itu tidak lebih banyak nilainya, maka kita akan sentiasa berusaha memelihara hidayah yang Allah beri ini..

dan menginfakkan diri ini pada jalan-Nya..

Kerana perjuangan menegakkan Islam itu tidak pernah memerlukan kita seperti mana kita yang terlalu hajat untuk bersama di dalamnya..

Kerana, walau tanpa kita, Agama Tertinggi itu tidak akan pernah padam;
"Mereka hendak memadamkan cahaya(agama) Allah dengan mulut(ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya"
( as-Soff; 8 ) 
Tetapi kita, tanpanya...?

Lihat sahaja kesudahan orang-orang terdahulu yang menganggap  diri mereka terlalu tinggi nilainya..adakah akhirnya mencatat sejarah kegemilangan mereka dengan tinta emas?

Fikir-fikirkan, wallahu a'lam..



Sabtu, 27 Ogos 2011

diri dan 1 sen

Pernah menilai diri anda? Andai diberi nilai 36 sen dan anda terpaksa menilai diri, bangsa, negara, dan agama, dengan nilai 1 sen, 5 sen, 10 dan 20 sen, bagaimanakah anda meletakkan nilai itu?

Bagi saya, nilai 1 sen adalah harga diri saya pada ketika itu..

Nilaian Diri
Pernah satu ketika, saya ditimpa kekecewaan kerana gagal mencapai apa yang telah saya targetkan untuk pencapaian akademik saya. Keputusan yang selalu saya capai bukan lagi milik saya. Saya merasa hiba, kecewa dan merasakan ,"saya tak sepatutnya gagal mencapainya.." saya dah memberi usaha terbaik, dan mengorbankan masa yang banyak untuknya..

Menyelak lembaran Qur'an, berharap agar hati yang gundah tak terus terbuai, cuba membaca dengan hati yang masih kesal, saya terjumpa ayat ini,
                      "Maka apabila manusia ditimpa bencana, dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami memberikan nikmat Kami kepadanya, dia berkata, "Sesungguhnya aku diberikan nikmat ini hanyalah kerana kepintaranku." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui."
                                                                                                                  (az-Zumar; 49)

Tahukah apa yang saya rasa? Saya yang ketika itu sedang mengesali apa yang telah Dia tetapkan untuk saya, atau kata pendeknya-tak bersyukur,
Bongkak pula

Merasa diri yang paling bagus

Tidak ada yang sepandai diri ini!

Dan seribu satu lagi perasaan yang bersarang dalam hati.. seseolah saya sesempurna manusia,-heh! Hakikatnya sudah tertipu dengan diri sendiri..

Waktu itu, terasa bodohnya diri..

Pepatah Arab ada menyebut; "seseorang yang merasa takjub dengan dirinya menunjukkan kedangkalan akalnya"..

dan itulah seorang saya..

Menjadi nasihat untuk diri saya yang selalu merasai kemenangan, dan kejayaan, sehinggakan teman-teman juga bertanya rahsia kejayaan, dan tak kurang merasa hairan juga yang berharap dirinya sebertuah diri ini.. ketahuilah, nilaian untuk diri saya-pada hakikatnya tidak sampai 1 sen pun bila di hadapan-Nya..

setiap daripada kita punya kelebihan tersendiri, jangan kamu mengaburi matamu dengan merasa terlalu takjub dengan orang lain sehingga kamu melupakan dirimu sendiri, dan merasa kesal kerana Allah menciptakan kamu yang tidak seperti dirinya..





Ahad, 17 Julai 2011

Dia yang bukan milikku

Detik pahit manis bersamanya masih segar dalam ingatan. Pandangan matanya yang harmoni, dan tegurannya yang jujur itu, sering menjadikan hati ini damai saat mengingati dirinya..

Urm, benarlah kata mereka, sahabat yang baik itu ialah apabila melihat tingkahlakunya saja sudah mengingatkan kamu kepada Allah.

Betullah tu, semua manusia ada kekurangannya, tak terkecuali dirinya.. Tetapi kekurangannya menjadikan saya terasa lebih berharganya dia.. kerana apabila kami bergabung, seolahnya kami saling melengkapi..
OH, rindunya!!

Dan ketika bersendirian, tanpa dia di sisi, serasa semuanya harus bermula dari A.

INGIN, ingin sekali, untuk sentiasa bersamanya, berharap perpisahan takkan terjadi, kami beriringan berdampingan, selamanya..

Tetapi tetap saja, manusia itu takkan berhenti pada satu titik yang sama.

Belajar untuk hidup tanpanya, hidup dalam mimpi dan impi semalam.. masih mampukah saya untuk teguh berdiri, atau berlari tanpa dia di sisi..?

Pada zahirnya saya telah ditinggalkan..

Tetapi dia tidak pergi tanpa ada yang mendukungi.. 

Saya masih mampu tersenyum walaupun menghadapi mendung, hujan mahupun ribut keseorangan,

Kerana hakikatnya, dia tidak pernah pergi, 
Namaku dalam doanya setiap hari,
dan memori 'dia' tetap hidup dalam hati.. 

Terima kasih sahabat.. Moga Allah redho ke atas diri ini dan juga kamu.. Allahumma aamiin..
Uhibbukunna fillah! :)

Khamis, 14 Julai 2011

sahabat gelap

terima kasih kepada Langit Ilahi.com..
:) sebagai peringatan tatkala ukhuwah teruji kelak..

_____________________________________________
Sahabat,
Aku bina hubungan ini atas keimanan,
Tetapi jangan sesekali kau lupa
Bahawa aku hanyalah insan.
______________________________________________


Pagi itu indah dengan mentari yang dipeluk awan. Redup dan menawan. Angin sepoi-sepoi bahasa menambah kesempurnaan suasana. Ditambah teh panas yang menyelerakan, cukup membawa diri ke dalam ruang kerehatan.
Seronok. Dia menghayati suasana itu di atas kerusi malas di perkarangan beranda rumah sewa.
“Ai , melunjur kaki nampak?” Dan suara itu menarik kepalanya untuk mendongak.
Seorang lelaki, berbaju tanpa lengan, sedang mencekak sebelah pinggang, dengan tangan kanan memegang cawan. Luqmanul Hakim.
Dia diam sahaja. Tidak membalas bicara Luqman. Kembali melepaskan pandangan keluar.
“Hari tak buat apa-apa?” Suara Luqman menyapa gegendang.
Acuh tak acuh, sekadar menggeleng.
“Baiklah, aku nak pergi basuh pinggan mangkuk di dapur dan kemas rumah hari ini.”
Diam.
Dan beberapa saat kemudian, dia perasan Luqman tiada lagi di sisinya. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuh memandang arah belakang kerusi malas. Kelibat Luqman masuk ke dapur dan meletakkan cawan dapat diperhatikan melalui celahan pintu dapur yang terkuak.
Dia kembali berbaring tenang, menghirup teh panas.
Teh panas buatan tangan Luqmanul Hakim.

******

“Apalah Azizi tu, kata budak sekolah agama.” Kedengaran Bunyamin bersuara. Nada tidak puas hati.
“Ha’ah. Boleh pula bercouple. Ish ish.” Umair membalas.
“Aku tak berapa nak salahkan Elina tau. Dia bukan budak sekolah agama. Tapi Azizi tu, patut dah tahu mana halal haram. Kita semua ingat dia baik.” Razak menambah.
Dan bicara itu melewati gegendang telinganya.
Luqmanul Hakim menghela nafas. Tanpa sedikit pun rasa gentar, dia bangun dan merapati tiga sekawan yang sedang duduk satu bangku di dalam dewan kuliah itu.
“Assalamu’alaikum.”
“Waalaikumussalam.” Tiga orang itu menjawab serentak.
“Boleh tak aku nak tegur sikit?”
Tiga sekawan diam.
“Kita ni, kalau nampak seseorang itu terjun dalam neraka, yang patut kita buat adalah tarik tangan dia. Bukan makin hentak dia biar jatuh makin dalam.” Luqmanul Hakim berbicara perlahan.
Tiga sekawan seakan tersentak.
“Kita patut bantu dia. Cakap-cakap belakang ini, tidak membantu. Kamu bertiga ni pernah pergi jumpa dengan dia dan cakap fasal benda ni? Nasihat dia?”
Sunyi.
“Bayangkan kalau kamu bertiga dalam posisi dia, dan dengar pula orang berbicara macam kamu bertiga bicarakan. Macam mana?”
Terasa.
Luqmanul Hakim menarik nafas dalam. “Jadi, sama-sama kita muhasabah. Mana tahu dia ada masalah. Sebab itu jadi begitu.”
“Nul, kau masih lagi pertahankan dia?” Bunyamin akhirnya bersuara.
Kening Luqmanul Hakim terangkat. “Dia sahabat aku. Dia terjun ke dalam neraka pun, aku akan terjun sekali untuk selamatkan dia.”
“Nul, kau memanglah. Tapi dia tu anggap kau sebagai sahabat dia ke?” Umair angkat kening sama. “Kau tahu ke macam mana dia pandang kau?”
Luqmanul Hakim diam.
“Tahu tak dia pernah kata pada orang lain, yang dia meluat dengan kau? Tahu tak yang dia pernah kata pada orang lain, bahawa dia tak perlu kisah kekemasan rumah sebab kau ada? Kau tahu tak, yang kau tu tak lebih macam alat sahaja pada dia.” Bunyamin bersuara lagi.
Razak bangun. Menepuk bahu Luqmanul Hakim. “Kau pada kami, bodoh.”
Dahi Luqmanul Hakim berkerut seribu.
Seakan wujud pisau yang menikam kalbu, dan dia menahan kesakitannya.

******

Malam itu tenang. Angin menerobos masuk melalui tingkap, mengibarkan langsir dengan kibaran yang menyenangkan. Bilik terasa sedikit nyaman. Namun tidak hatinya.
Dia menarikan jemarinya di atas meja. Skrin komputer dipandang. Tetikus digerakkan, dan jari telunjuk melakukan klik beberapa kali terhadap beberapa link di internet.
Itu adalah blog-blog rakan seuniversitinya, baik lelaki mahupun perempuan. Isu terhangat sekarang adalah dia. Kini dia menjadi topik bualan yang hangat, dan dia amat tidak disenangi.
Nafas dihela lemah. Tertekan.
Tok tok tok. Biliknya diketuk.
“Masuk.” Dia kenal siapa yang mengetuk.
“Selamat Hari Lahir Azizi!” Dan Luqmanul Hakim terus menyuakan sebuah kotak.
Matanya membesar. Ah, macam mana dia boleh terlupa hari ini adalah hari lahirnya. Spontan senyumannya meleret. Terus diambil kotak itu.
“Ini boleh buka sekarang?” Dia angkat kening sebelah, memandang Luqmanul Hakim.
Luqmanul Hakim mengangguk, sambil melabuhkan punggungnya di atas lantai.
Perlahan-lahan dia membuka kotak tersebut, dan melihat sebuah jam tangan. Kemudian dia melihat kembali kepada Luqmanul Hakim di hadapannya.
“Suka?” Suara Luqmanul Hakim memotong bicara yang hendak dikeluarkannya.
Dia mengangguk. “Mahal ni Nul.”
Come on, kau kan sahabat aku.”
Akhirnya, dia hanya mampu tersenyum. Perlahan-lahan matanya melirik kepada skrin komputer. Kemudian kembali kepada Luqmanul Hakim di hadapannya.
“Nul, kau sebenarnya tahu kan apa yang orang selalu sembangkan hari ini.”
Luqmanul Hakim diam.
“Dan kau tahu kan yang semua itu betul?”
Masih diam.
“Mengapa kau masih macam sekarang?”
“Sebab kau sahabat aku.”
“Itu sahaja?”
“Itu sahaja.” Perlahan-lahan Luqmanul Hakim bangun dan berdiri di hadapannya.
“Apa namanya sahabat, kalau tendang sahabat dia masuk neraka. Sahabat sepatutnya hulurkan tangan agar sahabatnya masuk ke dalam syurga.”
Dan dia terdiam begitu sahaja.
Tidak lama kemudian, selepas mendoakannya, Luqmanul Hakim keluar dari bilik meninggalkan dia berseorangan. Dia memandang jam tangan itu. Perasan ada ukiran tulisan.
Nul+Azizi. Ukhuwwahfillah.
Keluhan nafas keluar.

******

Memang di dalam hatinya, dia menyimpan segala rasa. Namun rasa itu dibiarkan berlalu.
Berlalu? Tidak sebenarnya. Walau macam mana pun dia ingin membiarkan semua itu berlalu, tetap semua itu ada yang melekat di dalam hatinya. Ya, bukan mudah mendidik hati. Dia manusia, bukan malaikat sebenarnya.
Biliknya tidak pernah dikunjungi Azizi. Khabarnya tidak pernah ditanya. Dia adalah yang sering mengvakum rumah dan mengemasnya, manakala Azizi adalah yang jenis akan membuat sepahnya. Pinggan mangkuk dia yang basuh, dan Azizi adalah yang hanya akan meninggalkannya. Sampah di tong sampah, dia yang membuangnya. Kalau diharapkan Azizi, mungkin hingga sampah termuntah keluar dari tong pun tidak dikisahkannya.
Kalau ditegur, Azizi akan melenting dan memboikotnya untuk jangka masa yang lama. Hatta menampal pesanan agar pinggan sendiri basuh sendiri pun, Azizi akan bermasam muka dengannya.
Hari lahirnya juga tidak pernah disambut. Masalahnya tidak pernah ditanya. Bila berjauhan, kalau bukan dia yang menghubungi, maka Azizi tidak akan dihubunginya. Kalau ada sesuatu yang berlaku kepada Azizi, dia akan pergi mempertahankannya, tetapi Azizi tidak pernah pula mempertahankannya jika sesuatu berlaku kepadanya.
Macam kes salah faham antara dia dengan masyarakat yang menyangka dia ada hubungan dengan perempuan yang sering bermesyuarat dengannya. Azizi tahu keadaan sebenar, tetapi tidak pernah berani menyokong dia ketika itu. Perkara itu selesai pun kerana akhirnya kebenaran terzahir dengan sendirinya.
Semua itu memberikan kesan di dalam hatinya.
“Sampai bila hendak begini?” Dia tertanya-tanya.
Dan sekarang, dia mendengar macam-macam lagi cerita. Dan cerita itu semua ada buktinya. Azizi memang tidak menghargainya, dan dia kelihatan seperti orang bodoh sahaja dengannya. Jam pemberiannya itu tidak pun dipakai. Bahkan, layanan Azizi terhadapnya masih sama seperti biasa. Ketika ini pula, masalah Azizi didengarinya semakin berat. Sudah berpegang tangan dengarnya.
Dia sendiri sempat melihat gambar mereka berdua-duaan yang menjadi wallpaper desktop Azizi sekarang, sebelum Azizi sempat menutupnya.
Hari ini, di atas sejadah, fikiran itu membuak-buak bertarung.
Apakah patut diteruskan?

******

Satu perasaan aneh menyelubungi. Tiada lagi teh panas di waktu pagi. Juga tiada lagi ketukan pintu bilik. Sampah juga sudah termuntah-muntah keluar dari tong, tidak kemas seperti biasa. Pinggan mangkuk sudah bertimbun di sinki, manakala ruang tamu berserabut.
Dia menggaru kepala. Mana Luqmanul Hakim?
Akhirnya jejak kakinya membawa ke hadapan pintu bilik lelaki itu. Tempat yang tidak pernah dijejaki sebelum ini. Selama tiga tahun mereka belajar bersama, ini pertama kali dia berdiri di hadapan pintu Luqmanul Hakim.
Pintu diketuk. Dia tahu Luqmanul Hakim ada di dalam bilik berdasarkan kasut yang masih wujud di muka pintu rumah.
Pintu dibuka. Luqmanul Hakim, kasual dengan lengan panjang, bersama seluar jeans biru yang kemas, kelihatan separa terkejut dengan kehadirannya.
“Azizi?”
Jiwanya macam direnjat dengan reaksi Luqmanul Hakim. Namun ketika itu, dia juga sedar bahawa memang patut Luqmanul Hakim terkejut sedemikian. Dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke sini selama ini.
“Ada apa?” Nada hairan keluar daripada suara Luqmanul Hakim.
“Em…” Ada apa sebenarnya? Dia juga tidak pasti.
“Kau dah tak kemas rumah lagi ke? Kotorlah.” Dan itu yang keluar.
“Oh.” Luqmanul Hakim angkat kedua-dua kening. Riak wajah terkejut dengan kata-kata itu. Sempat Azizi memerhatikan bilik Luqmanul Hakim. Kemas. Bersih. Teratur.
“Aku dah tak mahu dah kemas rumah boleh? Aku basuh pinggan aku sendiri, dan aku pastikan bilik aku kemas. Cukuplah.” Luqmanul Hakim berbicara tenang. Seakan-akan perkara itu memang telah nekad di dalam hatinya.
Dia sedikit terkesan dengan kata-kata itu. Luqmanul Hakim. Seorang yang dikenali sebagai penyabar, baik hati, sering mengambil berat, tiba-tiba berubah menjadi seorang yang sangat dingin.
“Kau ni kenapa?” Akhirnya suaranya meninggi. Tercetus kerana merasakan Luqmanul Hakim berubah disebabkan sikapnya. Dia merasakan, itu tidak patut kerana sekiranya Luqmanul Hakim ikhlas bersahabat dengannya kerana Allah, lelaki itu tidak sepatutnya berkelakuan sebegini.
“Em?” Luqmanul Hakim buat selamba. Riak wajahnya sedikit pun tidak berubah.
“Kau selama ini asyik cakap bahawa persahabatan kerana Allah itu tidak harapkan pembalasan. Persahabatan kerana Allah itu perlukan pengorbanan. Persahabatan kerana Allah itu memang banyak cabaran dan dugaan. Sekarang kenapa kau buat perangai macam ini?” Dia tidak dapat menahan gelegak hatinya. Suaranya tinggi menggegak gempita.
Terus dicekak kolar baju Luqmanul Hakim.
“Kaukan sahabat aku, kenapa buat macam ini?”
Luqmanul Hakim masih begitu. Wajah tidak beriak. Perlahan-lahan kedua-dua tangan lelaki itu naik mencengkam kedua-dua pergelangan tangannya. Mata lembut tadi, bertukar menjadi tajam seakan ingin menembusi kepalanya. Kedua-dua tangannya disisihkan dari kolar dan dipegang kuat.
“Azizi, apa yang kau tahu berkenaan persahabatan?”
Diam.
“Kau fikir aku ini apa? Orang gaji? Alat? Sampah?” Dan pertama kali Luqmanul Hakim kedengaran meninggikan suaranya. Tegak bulu romanya melihat wajah Luqmanul Hakim ketika ini.
Tetapi egonya mengatasi.
“Engkau hipokrit Nul. Hipokrit!” Terus telunjuknya menujah dada Luqmanul Hakim. Terus tangannya dicengkam kuat oleh Luqmanul Hakim sekali lagi. Pergerakannya terhenti.
“Hei, kau ingat aku apa hah? Malaikat? Robot? Aku manusia. Ada hati, ada perasaan!”
“Aku manusia juga. Buat kesilapan. Kau kenalah sabar dengan aku!” Dia mempertahankan dirinya.
Kini dia melihat Luqmanul Hakim mengetap gigi. Tangannya dilepaskan lelaki itu, dan tubuhnya ditolak menjauhi pintu.
“Kau sahabat aku, itu ada kebenarannya. Aku sahabat kau? Aku rasa itu kau kena tengok semula. Aku tak peduli kau panggil aku hipokrit atau apa. Kau memang tak pernah memahami aku pun. Kau nak aku kira juga kau manusia? Aku fikir selama ini aku sudah cukup lama kira kau sebagai manusia. Tetapi engkau, engkau pernah layan aku macam manusia? Tak pernah!” Dan suara itu ibarat petir.
Dia tergamam. Luqmanul Hakim benar-benar kelihatan seperti raksasa yang amat menakutkan. Wajah itu, suara itu, benar-benar dia tidak menjangka Luqmanul Hakim yang sentiasa tersenyum, merendah diri, penyabar, akan berdiri di hadapannya sebegini.
“Aku ada ramai sahabat, dan tidak rasa kekurangan dengan kehilangan kau seorang.”
Dan pintu ditutup.
Seakan-akan menzahirkan pintu hati Luqmanul Hakim yang telah terkunci rapat.
Dia terjelepuk jatuh. Suasana jadi sunyi sepi. Perlahan-lahan dia memandang ke arah ruang tamu yang bersepah. Bau busuk dari dapur menusuk hidung. Dan memori-memori bagaimana dia selama ini melayan Luqmanul Hakim menerjah.
Akhirnya air mata jatuh berjuraian.
Tertekan.

*******

Selepas hari hitam itu, hidup Azizi hampir sahaja tidak keruan. Pergantungan terakhirnya di kalangan manusia pergi meninggalkan. Luqmanul Hakim memang tidak pernah menyapanya semenjak hari itu. Dia seakan-akan dibiarkan begitu.
Seakan-akan ada bicara untuk Azizi secara senyap oleh Luqmanul Hakim:
“Selama ini aku hulurkan tangan dan kau tidak menyambutnya, maka hari ini tiada lagi huluran tanganku untukmu.”
Awal-awalnya, kerana marahkan perubahan Luqmanul Hakim, Azizi pergi menyebar cerita itu, menyatakan betapa hipokritnya Luqmanul Hakim dan sebagainya. Namun, amat mengejutkan Azizi apabila masyarakat memarahinya semula. Rakan-rakan sekulihanya mengherdiknya sebaik sahaja cerita itu dibuka.
“Hoi, kau ingat kami semua ni buta ke? Kami selama ini punyalah nampak macam mana Nul tu sayang dekat kau. Engkau tu yang kami nampak macam kurang ajar layan dia selama ini macam itu. Kami tak terkejut la kalau dia jadi macam itu pun. Dia bukan hipokrit. Dia cuma tersedar sahaja yang dia dah banyak bazir masa dengan kau!” Tempikan Bunyamin itu masih bergegar pada gegendangnya.
Dia benar-benar keseorangan.
Seakan tersedar dari mimpi yang panjang.
“Lain kali, hargai orang yang nak hargai orang macam kau ni. Tak sedar diri.” Razak bersuara keras juga ketika itu.
Azizi benar-benar tersepit.
Kini sebulan telah berlalu, dan sebulan juga dia begitu. Pelajarannya makin terumbang-ambing. Hidupnya juga seperti retak menanti belah. Hubungannya dengan teman wanitanya juga entah ke mana. Jauh dari sudut hatinya, dia tahu dia telah melakukan kesalahan yang besar. Dan bila Luqmanul Hakim meninggalkannya, dia sedar dia semakin terperusuk ke gaung yang lebih dalam.
Dia biasa ingin manusia memahaminya. Tetapi dia tidak pernah menghargai manusia yang memahaminya. Dia tidak menghargai sahabatnya yang terbaik itu. Teman wanitanya bukan orang yang memahaminya. Dia diminati dan dikasihi perempuan itu hanya kerana dia kacak dan berharta. Sekadar tempat melempiaskan nafsu semata-mata.
Dub.
Bahunya berlanggar dengan seseorang. Azizi tidak menghiraukan. Terus bergerak.
“Hoi!” Satu teriakan kedengaran. Baru sahaja dia hendak menoleh, satu tumbukan hinggap pada wajah. Tersembur darah dari mulutnya.
Tiga orang lelaki bertubuh besar dan tinggi, sedang berdiri di hadapannya dalam keadaan amarah. Azizi mengesat bibirnya. Dia kenal tiga lelaki itu.
“Ah, Azizi Wajdi rupanya. Romeo terkenal di universiti kita ini.” Tuan punya suara itu mengepal penumbuk dan menumbuk-numbuk telapak tangannya.
“Faris, aku memang berasap betul dengan mamat ni.” Seorang lagi temannya bersuara. Muka tegang tanda tidak puas hati kepada Azizi.
“Betul tu Malik. Sumpah aku benci dengan dia ni. Budak tak sedar diri.” Dan pemilik suara ini paling dikenali Azizi. Yusman. Bekas teman lelaki kepada teman wanitanya kini.
“Ajar dia!” Faris bersuara. Terus dipukulnya Azizi di situ juga. Tindakan itu mendapat perhatian ramai. Pelajar-pelajar yang lalu lalang di situ mula berkumpul. Tetapi malang buat Azizi, tiada siapa yang menunjukkan wajah belas kepadanya.
Semua seakan-akan berkata di dalam hati: “Inilah balasannya untuk orang macam engkau.”
Malah ada yang mengeji Azizi terang-terangan. “Rasakan!”, “Padan muka!”, dan sebagainya.
Rata-rata hari ini, di kala ini, orang melihatnya seakan-akan seperti manusia yang sedang menerima pembalasan Tuhan.
“Hoi!” Satu suara menyabung ibarat halilintar, seakan-akan membelah masyarakat yang bekerumun. Satu lorong seakan-akan terbentuk, menuju kepada pemilik jeritan.
Faris, Malik dan Yusman memandang. Azizi yang sudah lebam-lebam dan berdarah mengangkat wajahnya sedikit dari pembaringan.
“Hentikan!” Luqmanul Hakim melangkah.
“Nul. Biarlah kami uruskan sahaja dia ini.” Faris bersuara garang.
Luqmanul Hakim tidak mempedulikan. Dia terus menduduk dan membangku Azizi.
“Kau okay tak ni?” Pipi sahabatnya itu ditepuk-tepuk lembut. Takut sahabatnya telah pengsan.
Dan ketika ini air mata Azizi meleleh.
“Maafkan aku Nul.”
Luqmanul Hakim diam sahaja. Diletakkan Azizi perlahan-lahan. Kemudian dia berdiri menghadap tiga sekawan.
“Sudi lepaskan dia?” Luqmanul Hakim mendepangkan tangan.
“Gila ke Nul? Dia ni layan kau macam sampah je selama ni.” Faris meninggi suara.
“Kami dengar pun, kau dah tinggalkan dia. Biar kami lanyak sahaja dia ni.” Malik seperti Faris.
“Ha’ah!” Yusman berapi.
“Kalau macam itu, langkah mayat aku dulu.” Luqmanul Hakim menajamkan pandangan.
Dan bulu roma tiga sekawan menegak. Masing-masing kaku dengan keyakinan Luqmanul Hakim.
“Kami tak mahu gaduh dengan kau Nul.” Malik bersuara gentar.
“Jadi lepaskan dia.”
Akhirnya tiga sekawan menurunkan penumbuk mereka. Terus berpaling dan bergerak menjauhi.
Suasana jadi riuh dengan bisik-bisik manusia yang ada. Diiringi dengan gerak langkah mereka menjauhi tempat itu. Ketika ini, Bunyamin, Razak dan Umair muncul. Membantu Luqmanul Hakim mengangkat Azizi.
“Hei, kau memang beruntung ada Nul.” Bunyamin menjentik sedikit dahi Azizi.
Azizi diam sahaja tidak membalas apa-apa.
Mereka bergerak perlahan-lahan menuju ke rumah Azizi dan Luqmanul Hakim.

******

Hujung minggu. Rumah itu tenang. Ruang tamu kelihatan kemas. Kini kedengaran bunyi dari arah dapur. Bunyi seseorang sedang membasuh pinggan mangkuk.
Luqmanul Hakim di situ. Khusyuk dengan Mp3 yang disumbat ke telinga.
Tiba-tiba dia terasa akan kewujudan seseorang di sisinya. Apatah lagi apabila orang itu mengambil pinggan dan berus basuh, kemudian membantunya sama.
Luqmanul Hakim menoleh ke kirinya.
Azizi yang sedang membantunya itu. Dia meleret senyum.
“Nul, terima kasih sebab selamatkan aku. Aku minta maaf atas sikap aku selama ini. Aku bukan sahabat yang baik. Aku memang bukan sahabat kau yang baik. Maaf.” Nada bersalah.
Mereka tidak berbicara pun beberapa hari ini sementara tubuh Azizi masih sakit. Tetapi Luqmanul Hakim tetap menjaganya. Lelaki itu jugalah yang membersihkan rumah seperti sediakala. Hari ini, baru mereka berbicara bersama.
Luqmanul Hakim menggeleng.
“Aku pun minta maaf juga.”
“Eh? Untuk apa kau minta maaf?”
“Aku terjatuh juga. Aku fikir nak lepaskan kau sahaja. Aku tak patut rasa macam itu. Patutnya, aku kekal tabah duduk di sebelah kau.”
Azizi terharu mendengar bicara tulus Luqmanul Hakim itu.
“Kau manusia. Macam aku juga. Sekurang-kurangnya, kemanusiaan kau teruji. Aku mempergunakan kemanusiaan aku sebagai alasan.” Azizi menghela nafas, sambi tangan mencucui pinggan yang terakhir.
“Jangan tinggalkan aku lagi ya? Aku janji aku usaha sungguh-sungguh selepas ini.” Azizi berbicara jujur. Benar-benar permintaan itu daripada kalbunya. Pinggan yang siap dibasuh itu diletakkan. Wajah Luqmanul Hakim ditatap.
“InsyaAllah.”
Dan dalam keadaan tangan masih basah, Azizi terus mendakap Luqmanul Hakim.
Bersama azam baru.
Untuk menjadi seorang sahabat yang sejati, dan hamba yang terbaik buat Ilahi. Bukan seorang sahabat gelap, yang sekadar mengorbankan kebaikan sahabatnya buat diri.
© Langitilahi.com